Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Agensi penguat kuasa sentiasa memantau aktiviti perlombongan haram di kawasan pedalaman Kelantan termasuk Jeli bagi memastikan tidak ada pihak yang melanggar peraturan.
Operasi pemantauan, risikan dan tindakan lapangan dipertingkat bagi memastikan kegiatan menceroboh hasil bumi dapat dibendung secara lebih tegas dan berkesan.
Timbalan Menteri Besar, Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti pengambilan hasil bumi tanpa lesen dan kelulusan sah boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Mineral Negeri Kelantan serta undang-undang berkaitan tanpa sebarang kompromi.
Katanya mereka yang berminat melombong hendaklah mendapatkan permit dan lesen sah sebelum menjalankan sebarang aktiviti perlombongan emas bagi mengelakkan risiko terhadap nyawa serta pelanggaran undang-undang.
"Kerajaan negeri amat dukacita terhadap kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua lelaki tempatan ketika menjalankan aktiviti perlombongan emas di, Kuala Balah, Jeli baru-baru ini," katanya pada kenyataan semalam.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun dilapor mengesahkan dua lelaki berusia 32 dan 38 tahun maut akibat tertimbus tanah di kawasan Ladang Sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah baru-baru ini, dipercayai menjalankan aktiviti melombong emas.
Dr Mohamed Fadzli berkata, aktiviti perlombongan haram bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah turut mengundang bahaya besar terhadap keselamatan manusia dan kelestarian alam sekitar.
Oleh itu katanya, semua pihak diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi dan syarat keselamatan yang ditetapkan sebelum menjalankan sebarang aktiviti perlombongan.

0 Comments