Bersatu berisiko hilang sebahagian kekuatan

 

Oleh Aslani M |

KOTA BHARU: Bersatu dianggap berisiko kehilangan sebahagian besar kekuatan dalam pilihan raya akan datang tanpa dibantu jentera pilihan raya dan penyokong PAS.

Pemerhati politik Dr Zulkeflee Yaacob berkata, hakikat itu tidak dapat dinafikan terutamanya di Pantai Timur dan utara Semenanjung kerana orang Melayu lebih dekat dengan gerakan dakwah PAS.

Katanya, kehadiran jentera PAS pada pilihan raya umum (PRU) lepas membantu calon-calon Bersatu khusus di kawasan majoriti Melayu.

“Apabila PAS memutuskan hubungan politik dengan Bersatu ia memberi tamparan keras kepada Bersatu sejak tertubuhnya Perikatan Nasional (PN).

“PAS merupakan aset paling kuat dalam gabungan terbabit kerana memiliki jentera di peringkat akar umbi di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan seluruh negara,” katanya di sini.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada kenyataan malam tadi memaklumkan parti itu memutus hubungan politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta merta.

Kenyataan terbabit dikeluarkan pascamesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, yang memperakukan keputusan Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu.

Dr Zulkeflee juga berkata, tindakan tegas dan berprinsip tidak bersama Bersatu ketika pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan serta PRU16 dijangka memberi kesan besar terhadap parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya juga kesilapan Bersatu apabila membiarkan krisis politik di Perlis, di mana parti terbabit dilihat begitu gopoh mahu menggantikan Mohd Shukri Ramli sebagai menteri besar.

Kata beliau juga PAS memerlukan pelan strategik dengan membentuk blok politik baharu atas jalur ‘penyatuan ummah’ bagi memperkasakan lagi landskap politik Melayu menjelang PRU16.

“Perlecehan terhadap PAS dalam Perikatan Nasional (PN) dapat dilihat ketika kempen PRN Sabah pada November 2025.

“Pada pilihan raya terbabit Bersatu banyak bergantung kepada bekas Timbalan Presiden Dato’ Seri Hamzah yang sering turun padang membantu kempen,” ujarnya.

Beliau juga berkata, Gerakan Reset yang diketuai Hamzah dilihat lebih tinggi nilai setiakawan dan dianggap lebih segar dalam arus politik perdana.

 

Post a Comment

0 Comments