Kelantan anjur Anugerah Media 2026

Oleh Norzana Razaly |

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan  menghargai golongan wartawan, editor, jurugambar, penyampai radio dan pengamal media melalui penganjuran Anugerah Media Kelantan 2026 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang diraikan pada 29 Mei saban tahun.

Program itu akan diadakan pada 13 Jun ini di sebuah hotel di Kota Bharu. Tahun lepas program serupa diadakan  di Kuala Lumpur. 

Tema yang dipilih tahun inin, “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, membawa mesej jelas pembangunan negeri juga bergantung kepada kekuatan maklumat yang benar, tepat dan beretika. 

Program terbabit dianjur kerajaan negeri melalui Urus Setia Penerangan dan Komunikasi.

Pada zaman Khulafa al-Rasyidin, khususnya era pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, jurutulis yang mengurus surat-menyurat rasmi dan rekod kewangan dalam institusi Diwan diberi elaun tetap daripada Baitulmal. Tugas mereka dianggap sebahagian daripada amanah negara kerana melibatkan pengurusan maklumat dan urusan rakyat.

Antara tokoh yang menonjol ialah Zaid bin Thabit RA, sahabat Nabi saw yang terkenal sebagai penulis wahyu, pengumpul al-Quran dan pentadbir yang berwibawa. 

Jurutulis kanan yang dikenali sebagai Kātib al-Rasā'il menerima elaun khas, diberikan kediaman rasmi, kenderaan tunggangan dan kedudukan setaraf pembesar negeri. Bahkan, jawatan tersebut sering menjadi laluan kepada pelantikan sebagai wazir atau gabenor.

Kemuncak kegemilangan golongan jurutulis berlaku pada zaman Abbasiyyah apabila institusi Diwan al-Insha' berfungsi seperti kementerian komunikasi, penerangan dan diplomasi moden.

Pada era Uthmaniyyah pula, wujud jawatan Nişancı, iaitu ketua jurutulis diraja yang bertanggungjawab menyediakan titah Sultan dan dokumen penting kerajaan. Mereka menikmati kedudukan tinggi dalam hierarki pemerintahan dan sebahagiannya dilantik sebagai Wazir Besar.

Pengamal media moden mewarisi sebahagian fungsi tradisional kātib dan sahib al-barid yang bertanggungjawab merekod, mengesahkan serta menyampaikan maklumat kepada pemerintah dan masyarakat.

Anugerah Media Kelantan 2026 memperkenalkan sembilan kategori dipertandingkan meliputi bidang akhbar, televisyen, fotografi dan radio. 

Kategori akhbar merangkumi Anugerah Berita Akhbar Bahasa Melayu Terbaik, Laporan Khas Akhbar Bahasa Melayu Terbaik serta Berita Akhbar Bukan Bahasa Melayu Terbaik. Kategori televisyen pula melibatkan Berita TV Terbaik, Laporan Khas TV Terbaik dan Visual Terbaik. 

Manakala bagi kategori fotografi, anugerah Gambar Berita Terbaik dipertandingkan, manakala kategori radio melibatkan Penyampai Radio Kerajaan Terbaik dan Penyampai Radio Swasta Terbaik.

Anugerah Media Kelantan 2026 sebagai manifestasi kerajaan Kelantan memandang tinggi peranan golongan wartawan dan jurugambar. 

Post a Comment

0 Comments