Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Peningkatan
perkhidmatan kesihatan di Kelantan menyemarakkan lagi agenda pelancongan
kesihatan serta mengurangkan kebergantungan rakyat mendapatkan rawatan di luar
negeri.
Sehingga sekarang terdapat dua hospital pakar yang dikendalikan swasta di Kota Bharu iaitu Hospital Pakar KPJ Perdana dan Kota Bharu Medical Centre (KBMC) yang kini berwajah baharu.
Fasa pembangunan dua blok KBMC setinggi 12 tingkat dan 11 tingkat yang bermula tahun 2022 kini siap sepenuhnya menyediakan 205 katil dan dilengkapi pusat rawatan kanser.
Manakala pembangunan semula Hospital Pakar KPJ Perdana dijangka meningkat jumlah katil kepada lebih 300 katil menjelang tahun 2030. Dan turut dilengkapi lebih 80 klinik pakar.
Selain itu akan disediakan dewan bedah tambahan, unit rawatan rapi, perkhidmatan dialisis, fasiliti penjagaan harian dan pusat onkologi lengkap dengan kemudahan radioterapi.
Turut disediakan lebih 320 petak parkir tambahan bagi meningkatkan keselesaan pesakit dan pelawat.
Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, projek berkenaan merupakan pelaburan strategik jangka panjang bagi memperkukuh kesiapsiagaan sistem penjagaan kesihatan di Kelantan dan Pantai Timur.
Menurut beliau, pembangunan tersebut turut berpotensi menjadikan Kelantan sebagai destinasi rawatan kesihatan serantau, terutama selepas pembukaan laluan penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu.
“Kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan pemain industri kesihatan amat penting bagi memastikan pembangunan sektor itu terus mampan,” katanya pada perasmian pelancaran pembangunan bangunan baharu Hospital Pakar KPJ Perdana di sini, baru-baru ini.
Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar, Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Dr Ismail juga berkata, KPJ turut merancang mewujudkan pusat onkologi yang menawarkan rawatan kanser termasuk kemudahan radioterapi bagi memenuhi peningkatan keperluan pesakit penyakit tidak berjangkit (NCD).
Katanya, kadar penggunaan katil di Hospital Pakar KPJ Perdana kini mencecah kira-kira 80 peratus, menunjukkan permintaan yang semakin tinggi.
“Keperluan rawatan sekarang semakin kompleks dan memerlukan lebih banyak subkepakaran bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang lebih tepat dan berkesan.
“Hospital Perdana sekarang mempunyai 35 pakar merangkumi kira-kira 10 bidang perubatan dan jumlah tersebut dirancang ditingkatkan kepada 80 pakar sejajar dengan peluasan kapasiti hospital,” ujarnya.
KPJ mempunyai rangkaian 30 hospital pakar KPJ yang terdapat di seluruh negara.





0 Comments