Penguatkuasaan lemah jejas operasi bas ekspres

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Kelemahan pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar bas ekspres dibimbangi menjejaskan keseimbangan pasaran serta mengurangkan pilihan pengguna terhadap perkhidmatan pengangkutan awam mampu milik.

Sedangkan beberapa tahun lepas kerajaan mewartakan Peraturan-Peraturan Pengangkutan Awam Darat (Penetapan Kategori Perkhidmatan Bas Ekspres) melalui PU(A) 206/2022.

Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail berkata, pengkelasan bas ekspres ekonomi dan eksekutif perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya usaha pihak berkuasa untuk memastikan setiap kategori perkhidmatan mematuhi syarat ditetapkan perlu mendapat sokongan semua pemain industri.

“Dasar yang baik memerlukan pematuhan dan penguatkuasaan yang konsisten supaya persaingan berlaku secara adil serta pengguna terus dilindungi.

“Langkah memperkukuh pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan dapat memastikan keseimbangan pasaran sekali gus menjamin akses rakyat kepada perkhidmatan bas ekspres berkualiti dan mampu milik,” katanya pada kenyataan.

Sebelum ini kerajaan menetapkan kadar tambang lantai bagi perkhidmatan bas ekspres jenis eksekutif ialah RM0.15 per kilometer dan kadar tambang siling bagi perkhidmatan bas ekspres ekonomi RM0.093 per kilometer.

Peraturan tersebut dikuatkuasa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui surat pemakluman kepada pihak industri bertarikh 5 Ogos 2022.

Che Ibrahim juga berkata, setiap pengusaha mempunyai kebebasan menentukan strategi perniagaan sama ada berasaskan jumlah penumpang dan harga atau menawarkan nilai tambah melalui perkhidmatan premium.

“Realitinya, majoriti perkhidmatan di pasaran sekarang berada dalam kategori eksekutif, manakala kategori ekonomi hanya mewakili sebahagian kecil pasaran.

“Dalam keadaan tertentu kategori eksekutif menawarkan tambang lebih rendah sehingga menjejaskan fungsi asal,” katanya.

Menurutnya juga sekiranya segmen bas ekspres ekonomi terus mengecil, pengguna berpendapatan rendah dan sederhana akan menjadi kumpulan yang paling terkesan.

Selain itu, industri pengangkutan bas ekspres berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos operasi, perubahan corak permintaan pengguna, persaingan antara mod pengangkutan serta proses pemulihan pasca pandemik.

 

 

Post a Comment

0 Comments