Melaka dijangka ikut jejak Johor bubar Dun

 

Oleh Salmat Mat Husain |

KOTA BHARU: Melaka dijangka akan mengikut jejak Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, tidak dapat ditolak Negeri Sembilan dijangka turut menyertai Johor dan Melaka bagi mengadakan PRN berdasar pergolakan politik yang berlaku di negeri terbabit.

Katanya, Johor mengumumkan pembubaran Dun secara mengejut sebelum sidang Dun yang sepatutnya diadakan pada akhir Jun ini.

“Saya difahamkan sidang Dun itu dikatakan tidak melibatkan sesi jawab soalan dan tiada atur cara rasmi. Ini agak pelik berbanding biasa. Kerana itu kita menjangkakan PRN Johor diadakan dalam tempoh terdekat,” katanya di sini.

Semalam, Menteri Besar Johor Dato’ Onn Hafiz Ghazi tiba-tiba mengumum pembubaran Dun Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Menurutnya pembubaran itu dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi bagi memastikan rakyat Johor terus memiliki kerajaan stabil dan kukuh.

Pada PRN Johor sebelum ini Barisan Nasional (BN) menang di 40 kerusi Dun, Pakatan Harapan (PH) 12 kerusi, dan Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi.

Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, pada peringkat awal beliau menjangka Dun Johor dibubar sekitar 24 Jun iaitu  selepas sidang Dun yang dijadual diadakan pada 22 Jun.

Bagaimanapun katanya, Menteri Besar Johor membuat kejutan dengan membubarkan Dun lebih awal disebabkan perkembangan politik di negeri terbabit yang dilihat semakin tegang.

Menurutnya juga PAS sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi PRN Johor dan Melaka melalui pelancaran jentera pilihan raya di kedua-dua negeri sebelum ini.  

Kata beliau PAS sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan berlaku PRN kerana tempoh Dun Johor dijangka berakhir awal tahun hadapan.

“Persiapan asas telah dibuat di semua peringkat dan PAS Kelantan juga akan melancarkan gerak kerja pilihan raya dalam masa terdekat.

“Malah banyak kawasan telah mulai menggerakkan jentera sebagai persediaan menghadapi pilihan raya,” katanya.

 

Post a Comment

0 Comments