Petugas media disaran junjung etika kewartawanan

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Petugas media disaran menjaga integriti dan menjunjung akhlak atau etika kewartawanan bagi membolehkan masyarakat memberi kepercayaan kepada media yang ada sekarang.  

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, tanpa kepercayaan masyarakat, liputan dibuat tidak lagi memberi apa-apa makna kepada pembaca.

Bagaimanapun katanya pengorbanan dan jasa yang dicurahkan petugas media bagi menyampaikan berita serta informasi dihargai kerajaan negeri.

“Sebab itulah Kelantan meraikan dan menghargai seluruh pengamal media dengan mengadakan Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat Negeri 2026.

“Wartawan atau pengamal media merupakan rakan strategik kerajaan. Dasar, inisiatif dan informasi kerajaan disebarkan kepada rakyat melalui platform konvensional atau digital,” katanya pada program di sebuah hotel di sini malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Mat Daud, anggota-anggota Exco dan petugas media.  

Program berkenaan dianjur Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kelab Media Darulnaim (Kemudi).

Menteri Besar turut merakam ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima Anugerah Media Kelantan supaya mereka terus bersemangat menjadi ejen penerangan dan komunikasi yang berkesan kepada masyarakat.

Sementara itu Mohd Asri berkata, penganjuran program tersebut sebagai bukti pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sumbangan wartawan, editor, jurugambar, jurukamera, penerbit dan penyampai radio.

“AMK 2025 menjadi platform menghargai peranan besar warga media yang sentiasa komited menyalurkan maklumat sahih dan berintegriti kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya juga kerajaan negeri turut menyediakan sumbangan kebajikan kepada bekas pengamal media dan wartawan veteran sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan mereka.

 

 

Post a Comment

0 Comments