Media Prima ungguli Anugerah Media Kelantan 2025

Oleh Norzana Razaly |

KOTA BHARU: Kumpulan Media Prima menggungguli sembilan podium kejuaraan yang diwakili TV3 meraih tempat pertama Laporan Khas TV Terbaik, ketiga Laporan Khas TV Terbaik dan ketiga Visual TV Terbaik.

Harian Metro pula mengungguli Berita Akhbar Bahasa Melayu Terbaik, naib johan Berita Akhbar Bukan Bahasa Melayu Terbaik (New Straits Times) dan naib johan Gambar Berita Terbaik (NSTP) serta ketiga Laporan Khas Akhbar Bahasa Melayu Terbaik (Berita Harian).

Manakala Molek FM menggondol naib johan Penyampai Radio Swasta Terbaik dan tempat ketiga Penyampai Radio Swasta Terbaik.

Anugerah Media Kelantan 2025 diadakan di sebuah hotel malam tadi sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) dianjurkan kerajaan negeri.

Perasmian disempurnakan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Hadir sama Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Mohd Asri Mat Daud, anggota-anggota Exco dan wakil rakyat serta pengamal media.

Bagi kategori Berita Akhbar Bahasa Melayu Terbaik, tempat pertama dimenangi Hazira Ahmad Zaidi dari Harian Metro menerusi karya bertajuk Kusta Bukan Sumpahan.

Tempat kedua diraih Muhammad Afiq Mohd Asri dari Bernama menerusi laporan Strok Bukan Noktah: Azli Bangkit Kembali Bersama RTW PERKESO, manakala tempat ketiga dimenangi Habsah Ismail dari Bernama melalui karya Bola Mata Palsu: HPUSM Kembalikan Keyakinan Pesakit Kehilangan Mata.

Kategori Berita Akhbar Bukan Bahasa Melayu Terbaik pula menyaksikan Lau Siok Cheng dari The China Press Bhd muncul juara menerusi karya Budaya Warisan Peranakan Cina Kelantan: Melestarikan Keaslian Nasi Kerabu/Kaw Jam.

Tempat kedua dimenangi Sharifah Mahsinah Syed Abdullah dari New Straits Times melalui laporan Gold Rush in Kelantan as Global Prices Soar, manakala tempat ketiga diraih Lim Hui Ching dari Nanyang Siang Pau Sdn. Bhd.

Bagi kategori Penyampai Radio Kerajaan Terbaik, tempat pertama dimenangi Suhaila Mat Daud dari Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan menerusi siaran Kelantan Diiktiraf Negeri Mampan 2025.

Tempat kedua disandang Mohammad Azidi Abdullah dari Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan menerusi siaran Destinasi Pelancongan Kelantan (Pulau Suri), manakala tempat ketiga menjadi milik Nor Shazleza Shahrul melalui siaran Kebersihan Pilihan Utama.

Kategori Penyampai Radio Swasta Terbaik dimenangi Fazlisham Mat Hussin (Issey) dari Astro Radio menerusi siaran Banjir Kelantan Peringatan.

Tempat kedua diraih Nazrin Nordin dari Media Prima Audio (Molek FM) melalui siaran Perpaduan di Kelantan, manakala tempat ketiga dimenangi Wan Nur Aqilah Shahirah Wan Lokman dari Media Prima Audio (Molek FM) menerusi siaran Ore Kito Tok Lupo Asal Usul.

Bagi kategori Berita TV Terbaik, tempat pertama dimenangi oleh Muhammad Rofiqiaiman Mohd Rosid dari Malaysia Gazette menerusi karya bertajuk Redah Lautan Banjir Hantar Bantuan Makanan di Tumpat.

Tempat kedua disandang Muhammad Ameerul Hafiz Mohd Rosli daripada RTM Kelantan menerusi karya Bomba Wira Merah, manakala tempat ketiga dimenangi Ahmad Faris Abdul Halim dari Bernama melalui laporan Pil Kuda Disorok dalam Najis Lembu, Enam Warga Tempatan Ditahan.

Kategori Laporan Khas TV Terbaik pula menyaksikan Siti Nor Akmaliah Razak dari TV3 muncul juara menerusi laporan Asap Tebal, Bau Busuk Hantui Penduduk Gua Musang.

Tempat kedua dimenangi Nik Nur Zakia Abdullah dari IMEDIKEL TV menerusi karya Pemutihan Gigi dengan Selamat dan Berkesan, manakala tempat ketiga menjadi milik Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi dari TV3 melalui laporan Tengkolok Khas Kelantan: Keistimewaan Getam Budu Tanjak Rasmi Sultan.

Bagi kategori Laporan Khas Akhbar Bahasa Melayu Terbaik, tempat pertama diraih Hazelen Liana Kamarudin dari Sinar Harian menerusi karya Bina Benteng atau Gali Terusan?.

Tempat kedua dimenangi Muhammad Afiq Mohd Asri dari Bernama melalui laporan Sempadan Kelantan-Thailand: Ancaman Dalaman, Cabaran Geografi dan Tuntutan Kuasa Maritim, manakala tempat ketiga menjadi milik Nor Fazlina Abd Rahim dari Berita Harian menerusi karya 15 Pangkalan Haram di Sungai Golok Masih Jadi Laluan Seludup Dadah.

Dalam kategori Gambar Berita Terbaik, Muhammad Mustaqim Khairuddin dari Bernama dinobatkan sebagai pemenang menerusi foto Selamatkan Lembu Dari Banjir.

Tempat kedua dimenangi Nik Abdullah Nik Omar dari NSTP menerusi foto 22 Perahu Naik Darat, manakala tempat ketiga diraih Kamarul Bismi Kamaruzaman dari Utusan Malaysia melalui karya Ibu Bapa Jangan Risau, Pelajar UMK Terjejas Banjir Dijaga.

Sementara itu, kategori Visual TV Terbaik dimenangi Mohd Azli Yusoff dari RTM menerusi karya Desa Gemalai Destinasi Wajib Dikunjungi Buat Pencinta Alam.

Tempat kedua disandang Amaran Ab Rahman dari RTM menerusi karya Kursus Pemanduan Lasak Pacuan Empat Roda UMK Sukan Lasak, manakala tempat ketiga menjadi milik Nik Amir Hamzah Mohd Rapendi dari TV3 melalui visual Seni Kraf Sulaman Kelingkan Berdepan Kepupusan.

Strata pencapaian kumulatif tertinggi, Kumpulan Media Prima mengungguli AMK 2025 dengan sembilan kedudukan podium menerusi kejayaan TV3, NSTP dan Media Prima Audio, manakala RTM/Jabatan Penyiaran Malaysia meraih enam podium dan Bernama memperoleh lima podium.

Setiap pemenang tempat pertama menerima wang tunai RM1,000 berserta sijil penghargaan, manakala pemenang tempat kedua menerima RM700 dan tempat ketiga menerima RM300, masing-masing bersama sijil penghargaan.

Penjurian AMK 2025 dilaksanakan oleh barisan juri profesional diketuai Prof Madya Dr Mohamed Saifudin Mohd Salleh dari Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.

Menurutnya, pemilihan pemenang dibuat berdasarkan empat tonggak utama yang membezakan karya baik daripada karya yang layak diangkat sebagai juara.

Tonggak pertama ialah ketepatan fakta dan kedalaman analisis. Karya yang cemerlang bukan sekadar memetik kenyataan rasmi, tetapi disokong penyelidikan menyeluruh, pelbagai sumber dan bukti yang kukuh.

Kedua nilai berita, eksklusiviti dan impak. Kami menilai keupayaan wartawan menemukan sudut baharu, membongkar isu yang signifikan serta menghasilkan laporan yang memberi kesan kepada masyarakat dan berpotensi mencetuskan tindakan pihak berkaitan.

Ketiga ialah kualiti penyampaian. Bagi media cetak, aspek naratif, struktur penulisan dan penguasaan bahasa diberikan perhatian. Untuk media penyiaran, kualiti vokal, sebutan, kredibiliti penyampaian dan kekuatan penceritaan audio visual menjadi penanda aras utama.

Bagi kategori fotografi dan visual pula, nilai estetika, komposisi, mutu teknikal serta keupayaan imej menceritakan sesuatu peristiwa secara berdikari tanpa bergantung kepada teks menjadi faktor penting,” jelasnya.

Aspek keempat ialah disiplin dan pematuhan syarat pertandingan yang mencerminkan profesionalisme seseorang pengamal media.

“Sesebuah karya yang hebat sekalipun boleh kehilangan markah sekiranya gagal mematuhi syarat asas pertandingan. Justeru, ketelitian dalam penyediaan bahan dan pematuhan garis panduan merupakan elemen yang turut diberi perhatian,” kata Dr Mohamed Saifudin.

 

 

 

Post a Comment

0 Comments