Taktik PH manipulasi isu kecil gagal calar imej pembangkang

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Tentera siber Pakatan Harapan (PH) kini dianggap semakin galak memainkan isu-isu kecil yang melibatkan pemimpin PAS bagi membentuk persepsi negatif terhadap parti itu.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, pelbagai kenyataan pemimpin PAS dipotong dan diputarbelit untuk dijadikan naratif politik.

Namun katanya, pihak terbabit masih gagal mengemukakan isu besar seperti yang berlaku terhadap pemimpin kerajaan pusat.

“Mereka cuba memanipulasikan isu-isu kecil bertujuan mengalihkan perhatian rakyat daripada pelbagai masalah besar yang sedang dihadapi negara sekarang.

“Malangnya mereka gagal membuktikan PAS terlibat dengan skandal seperti yang pernah berlaku melibatkan pemimpin parti lain,” katanya pada kenyataan hari ini.

Kata beliau usaha tentera siber PH gagal menutup isu kos sara hidup yang semakin meningkat, harga barang mahal, kenaikan tarif elektrik dan pelaksanaan subsidi diesel bersasar.

Selain itu, nilai ringgit merosot, beban cukai dan caj baharu yang diperkenalkan kerajaan Madani sehingga membebankan rakyat.

Begitu juga katanya, isu pendidikan termasuk kontroversi berkaitan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), sekolah vernakular dan kedudukan bahasa Melayu masih menjadi perbahasan dalam kalangan rakyat.

“Rakyat turut mempersoalkan beberapa keputusan berkaitan kes berprofil tinggi, kebebasan bersuara, pelaksanaan reformasi serta tekanan terhadap pembangkang dan pengguna media sosial.

“Kalau hendak disenaraikan, terlalu banyak isu besar yang rakyat sedang hadapi sekarang. Sebab itu mereka memanipulasi isu-isu kecil untuk mencalar imej pembangkang terutamanya PAS,” katanya.

Bagaimanapun Firdaus berkata, rakyat kini semakin matang dan mampu membezakan antara usaha membina persepsi politik dengan perbincangan yang menyentuh kepentingan rakyat.

 

Post a Comment

0 Comments