KOTA BHARU: Pengumuman Hamas membubar pentadbiran ‘de facto’ di Gaza dan menyerah urusan pemerintahan awam kepada jawatankuasa teknokrat Palestin dianggap sebagai strategi bagi mengutamakan kemaslahatan rakyat.
Mursyid Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia, Wan Mohd Sharafi Wan Mustaffa berkata, langkah itu diambil memandangkan Gaza berdepan kemusnahan besar akibat peperangan panjang.
Bagaimanapun katanya, pembinaan semula Gaza tidak dijadikan alasan untuk meletakkan wilayah itu di bawah pengaruh kuasa asing atau menjadikan bantuan antarabangsa sebagai alat tekanan politik.
“Pentadbiran baharu hanya akan mempunyai legitimasi sekiranya dipilih sendiri rakyat Palestin dan bukannya ditentukan oleh pihak luar.
“Ia juga tidak harus ditafsir sebagai berakhir perjuangan rakyat Palestin,” katanya pada kenyataan.
Baru-baru ini, Hamas mengumumkan pembubaran badan yang mentadbir Semenanjung Gaza sejak hampir dua dekad lalu kepada sebuah jawatankuasa teknokrat bagi melaksanakan pentadbiran awam di Palestin.
Perjuangan membebaskan Gaza daripada cengkaman zionis Israel menjadi sebahagian daripada perjuangan nasional Palestin. Ia bermula selepas Perang Arab-Israel 1948.
Kelahiran Hamas ketika Intifadah Pertama pada 1987 sehingga mencapai kemenangan pilihan raya Palestin pada 2006. Bagaimanapun Operasi Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober 2023 mengubah landskap konflik Palestin-Israel.
Wan Mohd Sharafi berkata, perjuangan mempertahankan hak rakyat Palestin tetap diteruskan dan ia tidak bergantung kepada kewujudan organisasi itu semata-mata.
Kata beliau perjuangan tersebut lahir daripada realiti penjajahan yang berlarutan sejak beberapa generasi, melibatkan isu pendudukan, hak pelarian, pembentukan negara Palestin yang berdaulat serta pembebasan Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa.
"Hamas mungkin tidak lagi mentadbir Gaza, namun perjuangan rakyat Palestin akan terus hidup selagi pendudukan Israel masih berterusan," katanya.
Oleh itu, kata beliau masyarakat perlu membezakan Hamas sebagai sebuah gerakan Islam, parti politik, pentadbir awam dan gerakan penentangan bersenjata.
Menurutnya juga pelucutan senjata Hamas bukan penyelesaian mutlak selagi zionis Israel menduduki bumi Gaza.
"Apakah jaminan tentera Israel akan berundur sepenuhnya, sekatan ditamatkan dan negara Palestin yang merdeka diwujudkan sekiranya gerakan penentangan dilucutkan senjata.
"Pelucutan senjata secara sebelah pihak tanpa menamatkan penjajahan hanya akan mendedahkan rakyat Palestin kepada ancaman yang lebih besar," katanya.




0 Comments