Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU:
Kerajaan negeri memandang serius dakwaan Menteri Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, Nga Kor Ming serta Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer kononnya Kelantan
merekod kadar jenayah dan gejala sosial tertinggi di negara ini.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kenyataan yang dibuat pemimpin DAP terbabit mengelirukan kerana memberi gambaran secara salah.
Katanya, kenyataan mereka tidak bersandarkan data rasmi kerajaan serta lebih bermotifkan politik.
“Sebagai individu yang memegang jawatan menteri dan Ahli Parlimen seharusnya ada integriti dan mematuhi peraturan ketika membahaskan sesuatu isu.
“Sebarang ulasan mengenai isu jenayah dan gejala sosial perlu merujuk kepada statistik rasmi dan bukannya menggunakan data secara terpilih sehingga mengelirukan rakyat,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim semalam.
Baru-baru ini, Nga Kor Ming mendakwa Kelantan banyak kes Aids, rogol, dadah, kadar pengangguran tinggi, ramai orang miskin dan bakat tempatan berhijrah ke luar negeri.
Rakaman video ceramah itu tular di media sosial apabila dikongsi pempengaruh media sosial Eric Lim Sian See.
Manakala ahli parlimen DAP Jelutong pula mendakwa Kelantan mencatat kes jenayah sesksual tertinggi di negara ini.
Dr Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri kesal tindakan pihak tertentu yang menggunakan platform Dewan Rakyat untuk melemparkan dakwaan tidak berasas.
Sedangkan katanya, berdasar Statistik Jenayah Malaysia 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Kelantan merekodkan 2,296 kes jenayah indeks pada tahun 2024, jauh lebih rendah berbanding Selangor (11,910 kes).
Bagi keganasan seksual Kelantan merekodkan 330 kes tahun lalu, lebih rendah berbanding Selangor, Johor, Sabah, Perak dan Pulau Pinang.
“Manakala bagi kategori rogol bawah umur, Kelantan mencatatkan 128 kes berbanding Selangor sebanyak 288 kes, Sabah (207) dan Johor (198), selain tiada kes eksploitasi seksual kanak-kanak direkodkan sepanjang tahun 2024,” katanya.
Menurutnya berdasar statistik rasmi Kelantan hanya mencatatkan 22 kes penderaan fizikal kanak-kanak, selain itu tiada kes penculikan kanak-kanak serta kecuaian di pusat jagaan.
Mengenai isu penyalahgunaan dadah, Kelantan merekodkan 1,513 kes dadah berbanding Selangor (2,716 kes).
Beliau juga berkata, statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan 93 kes HIV di Kelantan pada tahun 2023, sedangkan Selangor mencatatkan 1,062 kes.
“Penggunaan data secara terpilih untuk membina naratif politik adalah amalan tidak bertanggungjawab kerana ia mengelirukan masyarakat serta menjejaskan integriti wacana awam,” katanya.


0 Comments