Kelantan jadi sasaran serangan politik DAP

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak tidak sepatutnya dipolitik kerana ia melibatkan aspek keselamatan, maruah dan masa depan kanak-kanak.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, tindakan ahli parlimen DAP menjadikan Kelantan sebagai sasaran serangan politik sebagai tidak adil dan bertujuan membina persepsi negatif.

Katanya, setiap kali timbul sesuatu isu Kelantan dipilih sebagai sasaran untuk diburukkan sehingga digambar di luar kewarasan.

"Adakah kenyataan tersebut bertujuan mencari penyelesaian atau sekadar mencari modal politik untuk menyerang PAS," katanya pada kenyataan di hari ini.

Ketika perbahasan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 di parlimen kelmarin, Ahli Parlimen DAP RSN Rayer mendakwa Kelantan merupakan negeri paling teruk isu seksual.

Mohd Firdaus berkata, berdasar statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan gambaran berbeza.

"Bagi tahun 2024, Kelantan merekodkan 91 kes, jauh lebih rendah berbanding Selangor yang mencatatkan 438 kes, Johor 271 kes dan Perak 184 kes.

"Bagi tahun 2023 pula, Kelantan merekodkan 124 kes berbanding Selangor sebanyak 368 kes dan Sabah 215 kes," katanya.

Beliau berkata, penggunaan naratif tertentu dengan mengetepikan statistik rasmi kerajaan merupakan satu bentuk 'cherry-picking' yang bertujuan membina persepsi politik.

Katanya, setiap Ahli Parlimen sewajarnya berhujah berdasarkan fakta dan data rasmi, bukannya menggunakan petikan media yang jelas bermotif politik.

Menurutnya juga statistik jenayah dipengaruhi pelbagai faktor termasuk kepadatan penduduk, tahap pelaporan, keberkesanan penguatkuasaan dan kesedaran masyarakat.

“Isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak perlu dilihat sebagai isu nasional yang memerlukan penyelesaian bersama dan bukannya dijadikan peluru politik untuk menyerang mana-mana negeri," katanya.

Beliau juga menggesa semua pihak menghentikan budaya menghina rakyat Kelantan dan tidak menjadikan negeri itu sebagai 'punching bag' politik setiap kali musim pilihan raya.

"Rakyat sekarang mahukan fakta, kejujuran dan penyelesaian, bukannya politik yang memecah-belahkan rakyat Malaysia," katanya.

Post a Comment

0 Comments