SEREMBAN: Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 berlaku ekoran kegagalan kerajaan mengurus krisis dengan bijaksana akibat tekanan politik parti dan ketidaktentuan sokongan.
Ketua Penyelidik, Yayasan Strategik Lestari, Dr Mukhtaruddin Musa berkata, akibat kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menangani krisis politik dan institusi diraja menyebabkan PRN terpaksa diadakan.
Sedangkan katanya, ia boleh dielak sekiranya krisis yang berlaku diurus dengan lebih hikmah, cermat dan berlapang dada.
“Ketegangan melibatkan institusi istana dan pentadbiran negeri sepatutnya Menteri Besar mengambil sikap berkecuali serta mengelakkan kenyataan yang boleh dibaca sebagai memihak.
“Sikap sebegini penting bagi memastikan kerajaan negeri dilihat sebagai pendamai dan bukan pihak yang menambah kekusutan,” katanya pada kenyataan.
Pada Jun lepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun dilapor berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Malah, isu serupa ditegaskan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Dr Mukhtaruddin berkata, rata-rata pengundi mahu kestabilan kerajaan negeri dan menolak politik yang mengganggu keseimbangan negeri serta tidak sensitif terhadap adat setempat.
Katanya, keadaan lebih parah apabila bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah, yang juga calon PH Paroi menggelarkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sebagai ‘Undang Lima’.
Beliau berkata, gurauan itu dianggap sebagai tidak menghormati adat dan institusi tradisi.
“Pengundi Negeri Sembilan menilai ia sebagai satu langkah tidak wajar dalam adab politik, penghormatan terhadap budaya, keupayaan menjaga keharmonian serta kesungguhan mempertahankan Islam dan adat yang menjadi nadi negeri.
“Oleh itu gabungan yang dilihat menghormati adat, menjaga keharmonian dan memahami sensitiviti budaya Negeri Sembilan berpotensi menjadi pilihan pengundi,” ujarnya.
Menurutnya juga pada tinjauan di Serting, Pertang dan Paroi, sambutan terhadap jentera PN dan BN dilihat positif kerana pengundi menunjukkan kecenderungan menyokong parti yang menghormati adat, menjaga keharmonian dan mempertahankan Islam.
Bagaimanapun katanya pada realitinya, tidak semua pengundi BN secara automatik menyokong PN di kawasan yang tiada calon BN dan begitu juga sebaliknya.
Oleh itu, PN-BN perlu menjelaskan kepada ahli dan rakyat alasan mengapa gabungan PN-BN penting pada PRN kali ini.
“Pengundi perlu
tahu perubahan hanya mungkin berlaku melalui undi yang tersusun. Jika mesej ini
dapat disampaikan jentera PN-BN, peluang menumbangkan PH akan menjadi lebih
realistik,” ujarnya.




0 Comments