KOTA BHARU: Orang
ramai diharap tidak menghukum atau menghina seluruh
komuniti penunggang motosikal hanya disebabkan perbuatan segelintir
individu yang terlibat dalam aktiviti merempit.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, masyarakat berhak berasa marah apabila melihat aksi merempit yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
Namun katanya kemarahan tersebut tidak sepatutnya bertukar menjadi penghinaan.
“Saya sendiri berada di lokasi kemalangan yang melibatkan hampir 30 motosikal Yamaha RX-Z sehingga mengorbankan empat nyawa di Lebuh Raya Pantai Timur 2 baru-baru ini.
"Jalan sesak lebih sejam. Pemandangan ketika itu cukup memilukan apabila mengenangkan ada anak-anak kecil kehilangan ayah dalam sekelip mata,” katanya di sini.
Firdaus berkata, adalah tidak adil untuk menghukum seluruh komuniti permotoran hanya kerana perbuatan segelintir pihak.
Menurutnya, ramai pemilik dan peminat Yamaha RX-Z menjadikan motosikal sebagai medium mengeratkan ukhuwah, menjalankan aktiviti kebajikan serta membina persaudaraan.
Contohnya Kelab Pemilik Yamaha RXZ Kelantan bersama Kerajaan Negeri menganjurkan program RXZ Forever Legend yang menghimpunkan puluhan ribu peserta dari seluruh negara.
Katanya, program tersebut turut menerima pujian daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tahap disiplin peserta yang tinggi, pergerakan teratur serta tiada unsur provokasi sepanjang program berlangsung.

0 Comments