Penyatuan Ummah halang kemaraan PH di Negeri Sembilan

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Agenda Penyatuan Ummah yang diterjemah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lepas wajar diulang pada PRN Negeri Sembilan bagi menghalang kemaraan Pakatan Harapan (PH).

Malah, Penyatuan Ummah lebih penting di Negeri Sembilan dengan mengambil kira PH menguasai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada PRN 2022 berbanding Barisan Nasional (14) dan Perikatan Nasional (PN) 5.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Abdul Fattah Abu Mursie berkata, gagasan Penyatuan Ummah perlu diterjemahkan pengundi di Negeri Sembilan agar hegemoni Melayu-Islam dapat dipertahankan.

Katanya, walaupun keputusan tersebut agak sukar diterima sesetengah pihak, namun ia memperlihatkan keutamaan kepada maslahat umat berbanding kepentingan politik sempit.

“Pendirian itu membuktikan kematangan PAS dalam usaha mengangkat gagasan Penyatuan Ummah sebagai agenda yang merentasi sempadan parti dan kelompok.

"Dalam suasana politik yang semakin mencabar, kesatuan umat Islam merupakan asas penting bagi memastikan kekuatan dan kestabilan negara terus terpelihara,” katanya pada kenyataan.

PRN Negeri Sembilan akan diadakan pada 1 Ogos ini, manakala penamaan calon 18 Julai dan pengundian awal (28 Julai). Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi.

Abdul Fattah berkata, sudah tiba masanya umat Islam menilai dengan lebih serius kepentingan Penyatuan Ummah yang telah lama diperjuangkan PAS.

Menurutnya perpecahan yang berpanjangan hanya akan melemahkan kedudukan umat Islam serta menyukar usaha mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Kata beliau kejayaan di Johor membuktikan kesatuan ummah mampu diterjemahkan melalui sokongan politik dengan menolak PH yang diketuai DAP.

"Keputusan PRN Johor memberi isyarat rakyat masih meletakkan kestabilan politik sebagai keutamaan.

"Ia boleh dianggap sebagai menterjemah keputusan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menyaran penyokong PAS memberi sokongan kepada calon BN di kawasan yang tidak ditandingi PN di Johor,” ujarnya.

Menurutnya semangat mengutamakan kepentingan umat perlu terus diperkasa agar usaha memperkukuhkan Penyatuan Ummah sebagai teras perpaduan kaum di negara ini.

Kata beliau kesatuan asas kekuatan, manakala perpecahan membawa kelemahan umat Islam.


Post a Comment

0 Comments