Juru parkir hanya cuti Hari Raya

KOTA BATAM (Indonesia): Tanpa perlu melantik ramai kakitangan, namun Dinas Perhubungan (Dishub) Kota Batam, Kepulauan Riau, Indonesia dapat mengurus pentadbiran kota dengan teratur dan lancar.

Sedangkan di tempat-tempat lain, ada kakitangan khusus yang bertanggungjawab mengutip hasil daripada pemilik kenderaan yang parkir di kawasan bandar.

Di Malaysia kutipan hasil parkir sekarang dilaksanakan secara online tanpa perlu lagi memasuk wang syiling dalam mesin khas yang disediakan di setiap petak parking.

Namun di Batam, penduduk kampung diberi peluang bertugas menjaga parkir kenderaan di kawasan bandar. Mereka perlu memohon jawatan penjaga parkir dengan Dishub.

Pelantikan orang awam sebagai penjaga parkir di Batam sebahagian daripada proses rasmi sebagai sumber tenaga luar (outsourcing) kerajaan tempatan. Mereka bertugas bermula jam 7 pagi hingga 11 malam.

Juru parkir merupakan anggota rasmi yang diikat secara sah di bawah kendalian Dishub Kota Batam bagi memastikan kutipan hasil masuk ke tabung kerajaan.

Dishub Batam menguatkuasakan garis panduan pemantauan yang ketat bagi setiap petugas awam yang dilantik. Juru parkir (jukir) diwajibkan memakai pakaian seragam (berwarna merah jambu/pink atau biru), topi khas dan kad pengenalan (NIJP).

Mereka perlu memberi carcis (resit) parkir kepada pengguna setiap kali transaksi dibuat. Dan sekarang Dishub memperkenalkan pembayaran tanpa tunai melalui penggunaan kod QR (QRIS) pada tanda pengenalan jukir yang sah bagi mengelakkan ketirisan wang.

Sebarang aktiviti kutipan yuran parkir oleh individu yang tidak mematuhi ciri-ciri tersebut dianggap sebagai juru parkir haram.

Oleh itu orang ramai dinasihatkan supaya peka dan hanya membayar kepada individu yang beruniform lengkap iaitu rompi pink dan biru dengan nombor ID (NIJP) yang jelas.

Seorang juru parkir awam, Abdul Haris, 55 berkata, beliau berkhidmat sebagai penjaga parkir di Batam selepas pulang ke tanah air setelah lama bekerja di Malaysia.

Katanya, sebelum ini beliau bekerja di sebuah kilang membuat atap di Petaling Jaya, Selangor.

“Separuh daripada hasil kutipan parkir perlu diserah kepada Dinas Perhubungan (Dishub) Kota Batam kecuali pada hari Ahad.

“Bagaimanapun hari Ahad tidak banyak kenderaan yang datang ke bandar kerana kakitangan kerajaan bercuti. Jadi hasil bayaran parkir tidak seberapa pada hari minggu kecuali kenderaan membawa pelancong,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya juga sekarang ada pemilik kenderaan membayar parkir secara bulanan kepada Disbuh.

Abdul Haris yang mempunyai dua anak memberitahu terpaksa bekerja setiap hari bagi menampung perbelanjaan keluarga. Beliau mengakui hanya cuti bekerja pada Hari Raya sahaja.

Beliau yang berasal daripada Kupang sekarang tinggal menyewa di pinggir bandar dengan kadar sewa 1 juta Rupiah sebulan.

“Hendak memiliki rumah sendiri tidak mampu dengan pendapatan bekerja sebagai penjaga parkir. Biarpun dua anak saya sudah bekerja, namun pendapatan mereka juga tidak seberapa,” ujarnya.

 

 

Post a Comment

0 Comments