Kelantan pengeluar manganese ke-7 terbesar dunia

 

Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Kelantan satu-satunya negeri di Malaysia yang mengeluar manganese dan berada di kedudukan ketujuh terbesar di dunia.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, dengan adanya mineral berkenaan dapat mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai pemain penting dalam industri mineral global.

Katanya, maklumat tersebut dikongsikan Naib Pengerusi AML Holdings LLC, Yuki Nakamura yang mendakwa Malaysia merupakan pengeluar manganese ketujuh terbesar dunia.

“Memandangkan hanya Kelantan mengeluar manganese di negara ini, secara tidak langsung Kelantan berada pada kedudukan sebagai pengeluar manganese ketujuh terbesar dunia,” katanya di sini semalam.

Sebelum itu beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kelstone Sdn Bhd dengan AML Holdings LLC di  Kompleks Kota Darulnaim.

Kelstone merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK). Turut hadir pada majlis itu, Ketua Eksekutif PKINK, Dato' Sr Zamri Ismail; Adun Mengkebang, Zubir Abu Bakar dan Adun Kadok, Dato' Sr Azami Mohd Nor.

Dr Mohamed Fadzli berkata, pemeteraian MoU itu sebagai langkah strategik bagi memperkukuh pembangunan industri mineral di Kelantan melalui kerjasama dengan syarikat dari Jepun.

Kata beliau kerjasama tersebut dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan, mempercepatkan pemindahan teknologi serta memperkukuh pembangunan rantaian nilai industri mineral.

"Ia sekali gus mampu meningkatkan daya saing Kelantan dalam pasaran mineral global," katanya.

Beliau turut berharap Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memainkan peranan sebagai pemudah cara dan penyelaras bagi memastikan potensi industri mineral Kelantan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Katanya, sokongan berterusan daripada ECERDC penting bagi merancakkan pembangunan industri mineral yang berpotensi menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi negeri.

 

 

Post a Comment

0 Comments