MPKB BRI wajar anjur libat urus bersama masyarakat

 

Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Sikap hanya bergantung kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) semata-mata bagi menyelesaikan isu berkaitan kebersihan tidak akan mencapai matlamat yang dihasrat kerajaan.

Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim berkata, usaha menjaga kebersihan memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak.

Katanya, masyarakat perlu mempunyai rasa malu sekiranya kawasan persekitaran rumah sendiri berada dalam keadaan tidak bersih.

“Kita tidak hanya bergantung kepada pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kebersihan sentiasa terpelihara.

"Kita sepatutnya mempunyai rasa malu sekiranya kawasan persekitaran rumah berada dalam keadaan tidak bersih,” katanya pada program gotong royong anjuran Rakan Lestari Dun Bunut Payong hari ini.

Program terbabit turut mendapat kerjasama Pusat Khidmat DUN (PKD) Bunut Payong dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI).

Turut hadir Setiausaha PKD Bunut Payong, Faris Fauzi dan Pengerusi Rakan Lestari Dun Bunut Payong, Wan Idhan Wan Ismail.

Dr Zainuddin yang juga Pengerusi Kejiranan Taman Guru berkata, MPKB BRI perlu sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama masyarakat seperti aktiviti gotong-royong.

"Kita perlu mencontohi rakyat negara lain termasuk Korea Selatan dan Thailand yang menjadikan penjagaan kebersihan sebagai budaya kehidupan mereka," katanya.

Menurutnya juga Taman Guru pernah memenangi beberapa anugerah sebagai taman perumahan terbersih sejak 2019.

Kata beliau pada tahun lepas Taman Guru meraih tempat kedua Kempen Kelantanku Bersih anjuran Kerajaan Negeri Kelantan.

Beliau juga berkata, Adun Bunut Payong, Shaari Mat Yaman sebelum ini melancar Kempen Amalan Baik Kebersihan di taman berkenaan bagi membudayakan pengurusan sampah yang lebih teratur dalam kalangan penduduk.

"Penduduk hanya mengeluarkan sampah pada setiap Khamis dan Ahad mengikut jadual kutipan yang dilaksanakan MPKB BRI," katanya.

Kerajaan negeri melancar Kempen Kelantanku Bersih pada tahun 2021 melalui Sambutan Hari Kelantanku Bersih yang diadakan pada Disember 2021.

Post a Comment

0 Comments