Oleh Salmah Mat Husain |
PASIR PUTEH:
Suasana damai sawah padi di Kampung Kubang Sawa bertukar meriah apabila wanita-wanita muda tampil berbusana sarung menyertai program Nisa' Sarung Walk 2026, Sabtu lepas.
Program berjalan santai sejauh 3.5 kilometer itu bertema ‘Sarung’ berjaya mengangkat semula keunikan busana tradisional melalui pendekatan lebih segar dan dekat dengan generasi muda.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Ustazah Nor Asilah Mohamed Zin berkata, program berkenaan dianjur bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan wanita.
Katanya, peserta dapat menikmati keindahan landskap menarik sawah padi dan suasana kampung sepanjang melalui kawasan berkenaan.
“Penganjuran Nisa' Sarung Walk 2026 menggambarkan aktiviti riadah mampu menjadi medium memupuk kesihatan, mengeratkan silaturahim dan mengangkat warisan budaya tempatan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.
Sebelum aktiviti berjalan bermula setiap peserta menyertai senaman ringan dan acara bergambar beramai-ramai.
Peserta juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah, manakala e-sijil disediakan kepada semua peserta.
Nisa' Malaysia ditubuh pada 11 Januari 2010 menjadi penghubung generasi muda ke arah kehidupan yang lebih baik melalui pelbagai program pembangunan insan.
Nisa' memfokus program kebajikan, kemanusiaan dan kemasyarakatan khususnya melibatkan wanita muda berusia antara 15 hingga 40 tahun.
Pertubuhan itu juga berperanan memperkasakan wanita, menjaga kebajikan mereka serta membina komuniti berteraskan nilai pendidikan, moral dan semangat kesukarelawanan.





0 Comments