Oleh Syahir Sulaiman |
SEJAK merdeka, Malaysia mempunyai sepuluh Perdana Menteri. Setiap seorang mempunyai pendekatan, kekuatan dan kelemahan tersendiri, terutama ketika berdepan krisis dan kritikan.
Hari ini rakyat mula membandingkan gaya kepimpinan Perdana Menteri ke-10 dengan Perdana Menteri terdahulu. Maka tidak hairan timbul cakap-cakap “Rindu zaman Tun” dan “Ini jasa Najib”, sedangkan legasi pentadbiran Anwar masih belum kelihatan.
Tambahan pula, legitimasi Anwar sebagai Perdana Menteri terbentuk melalui sokongan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, bukan melalui mandat rakyat. Barangkali atas sebab itulah Anwar berkata, “Menang atau kalah PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri.”
Adakah ia petanda Anwar sendiri mengakui beliau sedang berdepan gelombang penolakan rakyat? Dalam PRU ke-15, PH hanya beroleh 82 kerusi, atau 37 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi. BN pula mencatat rekod tercorot dalam sejarah, tinggal 30 kerusi.
Tetapi melalui 'cantuman' PH dan BN pasca-pilihan raya, Anwar berjaya memperoleh sokongan 112 Ahli Parlimen bagi membentuk majoriti mudah, sebelum disertai GPS dan GRS untuk menubuhkan kerajaan.
Laungan “No Anwar, No DAP” dan “Hoi Hoi Ya Hoi” akhirnya menjadi sejarah. Inilah yang dinamakan prinsip Demokrasi Berparlimen. Rakyat akur dan hormati.
Maka Anwar diberikan tempoh untuk meyakinkan rakyat. Namun, disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Sokongan rakyat terhadap Anwar masih dipersoalkan.
Tidak cukup dengan defisit kewangan dan hutang kerajaan yang terus meningkat, Anwar kini turut berdepan defisit keyakinan.
Penolakan terhadap Anwar bukan sahaja datang daripada pembangkang, malah turut kelihatan dalam kalangan masyarakat sivil yang sebelum ini mendukung agenda reformasi.
Kini, rakyat sedang menilai Perdana Menteri ke-10. PRN Sabah telah memberikan isyarat awal. Kini, PRN Johor bakal menjadi kayu ukur sokongan rakyat di Semenanjung terhadap kepimpinan Anwar.
Menang atau kalah, Anwar tetap Perdana Menteri. Persoalannya, jika Anwar benar-benar yakin masih mendapat sokongan majoriti rakyat, adakah beliau berani membuktikannya semula di peti undi? Demokrasi, mandat rakyat.

0 Comments