KOTA BHARU: Negara tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan reaktif yang hanya memberi tumpuan kepada siasatan, pekeliling baharu atau tindakan disiplin selepas sesuatu kejadian berlaku.
Apa yang penting reformasi menyeluruh terhadap falsafah, hala tuju dan keutamaan sistem pendidikan negara.
Naib Presiden PAS Dato' Sri Amar Diraja Mohd Amar Abdullah berkata, selepas hampir 40 tahun pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1988), sudah tiba masanya negara melakukan penilaian secara objektif terhadap keberkesanannya.
Katanya, persoalan yang perlu dijawab sama ada sistem pendidikan sekarang benar-benar berjaya membentuk generasi yang berilmu, beradab, berintegriti, mempunyai kesejahteraan emosi dan mampu hidup sebagai warganegara bertanggungjawab.
“Malaysia tidak memerlukan reformasi yang hanya menukar kurikulum, peperiksaan atau istilah pentadbiran semata-mata, tetapi memerlukan reformasi falsafah pendidikan dan hala tuju yang mengembalikan pembentukan insan sebagai matlamat utama pendidikan negara,” katanya pada kenyataan.
Kebelakangan ini insiden demi insiden terus berulang melibatkan institusi pendidikan negara.
Mohd Amar berkata, pelbagai insiden terus berulang menunjukkan sudah tiba masanya kerajaan melihat isu tersebut sebagai krisis sistemik dan bukannya sekadar kes-kes terpencil.
Sehubungan itu PAS mengemukakan empat tuntutan utama kepada Kerajaan Persekutuan:
Pertama, menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) Mengenai Masa Depan Pendidikan Malaysia bagi mengkaji semula falsafah, struktur, tadbir urus dan hala tuju pendidikan negara.
Selain itu merangka Pelan Induk Pendidikan Nasional untuk beberapa dekad akan datang.
Kedua, menjadikan Dasar Pendidikan Rabbani sebagai kerangka dasar pendidikan nasional yang memperkukuh pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan memberi penekanan kepada pembinaan insan, adab, integriti, kesejahteraan mental, kepimpinan dan tanggungjawab sosial sebagai teras sistem pendidikan.
Ketiga, menubuhkan Jawatankuasa Khas Keselamatan dan Kesejahteraan Murid di peringkat kebangsaan bagi menyelaras dasar, membangunkan sistem amaran awal, memantau risiko keselamatan serta memastikan setiap sekolah benar-benar menjadi ruang yang selamat dan kondusif untuk pembelajaran.
Keempat, melaksanakan Indeks Sekolah Rabbani sebagai instrumen penilaian nasional yang mengukur kecemerlangan sekolah secara menyeluruh berdasar aspek keselamatan, kesejahteraan murid, akhlak, integriti, kepimpinan, penglibatan ibu bapa dan komuniti, di samping pencapaian akademik.
“PAS percaya ukuran kejayaan sesebuah sistem pendidikan bukan semata-mata bilangan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, tetapi sejauh mana sekolah berjaya melahirkan manusia yang beriman, berakhlak, berdisiplin,” ujarnya.
Menurutnya juga PAS konsisten memperjuangkan sistem pendidikan yang berteras wahyu, memuliakan ilmu, mengangkat adab dan melahirkan insan rabbani sebagai asas pembinaan sebuah Malaysia yang aman, maju, berintegriti dan diberkati Allah SWT.



0 Comments