PAS tekad pertahan Dun Maharani

 
Oleh Salmah Mat Husain |

JOHOR BAHRU: PAS Johor tekad mempertahankan Dun Maharani dan berusaha mencapai kemenangan di beberapa kerusi lagi sebagai mewakili Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.

Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed berkata, bekas Adun Maharani Abdul Aziz Talib daripada PAS yang menang pada PRN lepas terbukti berkhidmat dengan cemerlang di Dun terbabit.    


Katanya, Adun PAS mengutamakan pembelaan rakyat sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat pada penggal lepas.

Dun Maharani dikuasai pembangkang sejak pilihan raya umum (PRU) 2008. Pada PRU 2008 dan 2013 dimenangi Mohammad Taslim dari PAS, kemudian pada PRU 2018 - Nor Hayati Bachok (Amanah) dan PRU 2022 Abdul Aziz.

Dan pada PRN Johor kali ini Dun Maharani menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Mohamad Anuar Hayan (PN), Dato’ Ashari Md Sarip (BN), Muhammad Amir Fikri (MUDA) dan Muhammad Taqiuddin Cheman (Pakatan Harapan).

Calon PN yang diwakili PAS bertanding di 11 kerusi Dun di Johor, manakala Bersatu (16 kerusi), Parti Rakyat India Malaysia (5) dan Pejuang (1).   

Dr Mahfodz juga berkata, tiada sebab Dun Maharani perlu dikembalikan kepada Barisan Nasional (BN memandangkan wakil rakyat dari PAS membuktikan mampu berkhidmat dengan cemerlang sebelum ini.

“Maharani tidak perlu kembali kepada politik lama yang hanya mahu mengukuhkan kuasa kerajaan semata-mata. Maharani perlu kekal sebagai suara rakyat yang berani, matang dan berwibawa,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Menurutnya dalam sistem demokrasi yang sihat, kerajaan tidak boleh dibiarkan tanpa suara semak dan imbang yang berkesan.

Kata beliau setiap dasar, keputusan dan perbelanjaan kerajaan perlu dipantau agar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan bukan sekadar menjadi slogan pembangunan semata-mata.

Beliau turut mengajak rakyat Johor bersama menjaga masa depan negeri dengan memilih kepimpinan yang membawa pendekatan ‘Berkat, Prihatin dan Sejahtera’ demi kesejahteraan rakyat.

Post a Comment

0 Comments