Adun sumbang durian rai anak yatim

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Biarpun masih menerima rawatan di Hospital Pakar Perdana KPJ Kota Bharu, namun Adun Gaal, Ustaz Mohd Rodzi Jaafar tetap menjayakan program makan pulut durian bersama anak-anak yatim Rumah Kebajikan Darul Hanan.

Beliau menyumbangkan durian dan wang tunai menerusi program yang dianjurkan Kelab Balkis dan NGO Jurugambar Prihatin.

Sumbangan tersebut diurus anaknya, Mujahid Mohd Rodzi. Seorang alumni Sekolah Menengah Seri Nering, (SSN) Maznah Ismail, turut menyumbangkan durian untuk program tersebut.

Kira-kira 50 tetamu hadir pada majlis tersebut malam tadi. Antaranya wakil Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Kelantan, alumni Maahad Pengajian Islam (MPI) serta ahli keluarga.

Pengurus Rumah Kebajikan Darul Hanan, Ustaz Hilmi Abdul Rahman melahirkan penghargaan dan kepada semua penyumbang yang membantu menjayakan program berkenaan.

Katanya, sumbangan dan keprihatinan pelbagai pihak membolehkan anak-anak Darul Hanan dapat merasai keenakan durian. 

Menurutnya, majlis itu juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara anak anak Darul Hanan serta sukarelawan Kelab Balkis.

Katanya, program santai seperti itu bukan sekadar menikmati juadah pulut durian, sebaliknya menjadi medan mengeratkan silaturahim dan menyemarakkan semangat kebersamaan.

"Penganjuran semula program tersebut selepas beberapa tahun terhenti akibat pandemik Covid-19 amat bermakna kerana ia menghimpunkan kembali sahabat lama, khususnya Jurugambar Prihatin yang terlibat dalam misi kebajikan ketika banjir besar pada tahun 2014.

"Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong dan menyumbang kepada anak-anak Darul Hanan, sama ada dalam bentuk kewangan, makanan mahupun tenaga," katanya.


Post a Comment

0 Comments