Oleh Aslani M |
TUMPAT: Hasrat
Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob mahu setiap
pejabat PAS kawasan di Kelantan mempunyai ruang galeri arkib kini menjadi
kenyataan.
Sebahagian besar Pejabat PAS Kawasan di Kelantan memiliki ruang khas galeri arkib yang menempatkan bahan-bahan bersejarah, dokumen, artifak, foto, buku, risalah dan pelbagai lagi.
Antaranya PAS Tumpat memiliki Galeri Arkib di tingkat atas Pejabat PAS Tumpat di Kampung Berangan dekat sini. Bilik khas Arkib PAS Tumpat menempatkan pelbagai dokumen berkaitan sejarah awal PAS kawasan itu.
Pengerusi Jabatan Arkib PAS Kelantan, Hajil Zulkifli Mamat berkata, bilik khas yang menempatkan bahan-bahan arkib begitu penting diwujudkan sebagai tempat rujukan dan penyelidikan berkaitan PAS.
Katanya, dokumen sejarah sejak awal penubuhan PAS di Tumpat termasuk foto, risalah dan minit mesyuarat perlu disimpan dengan baik bagi mengelakkan rosak.
“Bilik khas arkib perlu direkodkan dengan kemas bagi mengelakkan pelbagai dokumen, foto, akhbar lama dan risalah yang dikumpul hilang.
“Dokumen yang dikumpul hendaklah disimpan juga dalam bentuk digital yang boleh disebar secara meluas di alam maya,” katanya selepas melawat Galeri Arkib PAS Tumpat di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha PAS Tumpat, Ustaz Hushaimi Hussian; ahli jawatankuasa PAS Tumpat Shalah Huddin Che Husin, Pengerusi Arkib PAS Tumpat, Wan Akbar Wan Abdullah dan Penolong Setiausaha Arkib PAS Kelantan, Mohd Zaim Asyraf Abdul Rashid.
PAS Tumpat ditubuh pada tahun 1956 yang diusahakan Haji Abdul Latif Dalam Rhu. Perbincangan bagi mewujudkan PAS Tumpat turut disertai Amaluddin Darus.
Pejabat PAS Tumpat terletak di Kampung Berangan dibina di atas tanah yang diwakafkan penduduk tempatan. Bangunan dua tingkat tersebut mengandungi pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat dan ruang khas arkib.
Zulkifli juga berkata, Jabatan Arkib PAS Negeri mengadakan lawatan ke setiap PAS kawasan di Kelantan bagi melihat dari dekat operasi galeri arkib.
“Pada sambutan ulangtahun PAS Kelantan ke-70 pada Oktober lepas Pesuruhjaya PAS Negeri mahu setiap PAS kawasan menyediakan ruang khas arkib yang menempatkan pelbagai dokumen lama.
“Selain itu ruang arkib juga hendaklah menempatkan buku-buku sejarah dan risalah berkaitan PAS bagi membolehkan generasi muda mengetahui lebih mendalam mengenai sejarah jatuh bangun PAS sebagai gerakan Islam di negara ini,” ujarnya.
Sempena lawatan itu Zulkifli turut menyampaikan buku terbaharu terbitan Arkib dan Badan Perhubungan PAS Kelantan iaitu ‘Tok Lebai Kemudi Negeri’ yang ditulis bekas Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Mazlan M Jusoh.





0 Comments