Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Sehingga
sekarang seramai 8,955 ibu dan anak menerima manfaat Skim Cakna Aulad bagi
tempoh 2019 hingga 2025 melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM777,650.
Dan bagi tahun 2026, seramai 1,350 bayi disasarkan menerima manfaat tajaan pembukaan Akaun Tabungan Emas bernilai RM100, membabitkan 30 penerima bagi setiap Dun di seluruh Kelantan.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat negeri, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, skim berkenaan melibatkan bayi dilahirkan antara 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026.
Katanya, sebanyak 30 penerima ditetapkan bagi setiap Dun di seluruh Kelantan mendapat manfaat skim berkenaan.
“Skim Cakna Aulad yang diperkenalkan sejak 2019 merupakan antara inisiatif kebajikan kerajaan negeri bagi meraikan kelahiran anak-anak Kelantan, di samping memupuk budaya menabung dalam kalangan ibu bapa sejak awal usia anak,” katanya pada kenyataan semalam.
Menurut beliau, bantuan tersebut sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada keluarga yang menerima kelahiran baharu dan menjadi pemangkin ibu bapa merancang kewangan anak-anak dengan lebih sistematik.
Katanya, syarat permohonan bayi dilahirkan di Kelantan serta mengemukakan salinan kad pengenalan ibu dan bapa, salinan MyKid atau sijil kelahiran bayi serta dokumen sokongan yang diperlukan.
Beliau berkata, borang permohonan boleh diperolehi di Pejabat Khidmat Adun dan permohonan lengkap diisi hendaklah dihantar kepada Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) selewat-lewatnya 20 Julai ini.
“Pelaksanaan Skim Cakna Aulad dikendalikan U-KeKWa dengan kerjasama NGO Beliawanis Dun serta Kelantan Gold Trade (KGT),” ujarnya.
Oleh itu Rohani menggesa ibu bapa yang mempunyai bayi dalam tempoh kelayakan tidak melepaskan peluang bagi memohon skim tersebut.


0 Comments