Orientasi mahasiswa baharu UM dicemari budaya hedonisme

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Dewan Ulamak PAS Kelantan melahirkan rasa kesal program minggu orientasi mahasiswa baharu di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini didakwa dicemari unsur hiburan sehingga dilihat menormalisasikan budaya hedonisme.

Ketua Penerangan Ustaz Abdul Fattah Abu Mursie berkata, institusi pengajian tinggi sepatutnya menjadi medan pembinaan ilmu, adab dan akhlak, bukannya membuka ruang kepada budaya yang boleh menghakis jati diri generasi muda.

Menurutnya, universiti merupakan gedung ilmu yang menghimpunkan para sarjana, ilmuwan serta bakal pemimpin negara, justeru setiap program yang dianjurkan perlu selari dengan matlamat pembentukan insan berilmu dan berakhlak mulia.

"Dewan  Ulamak Kelantan amat kesal kandungan program minggu orientasi mahasiswa baharu Universiti Malaya yang tular baru-baru ini terdapat unsur-unsur hiburan yang dilihat menormalisasikan budaya hedonisme dalam institusi yang sepatutnya menjadi benteng pembinaan sahsiah dan nilai murni," katanya pada kenyataan.

Baru-baru ini tular video program malam terakhir meraikan pelajar baharu diselit dengan konsert memperlihatkan ramai pelajar melompat, menyanyi dan berlaku percampuran lelaki serta perempuan tanpa kawalan.

Program bermula selepas solat Maghrib dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh pelajar, ucapan pihak universiti, bacaan ikrar mahasiswa dan selepas jam 11 malam, bermula persembahan konsert. 

Abdul Fattah berkata, mahasiswa yang baru melangkah ke alam universiti seharusnya didedahkan dengan nilai integriti, disiplin, adab serta kecintaan terhadap ilmu, bukannya budaya hiburan yang boleh mengaburkan matlamat sebenar mereka menuntut ilmu.

Menurut beliau, ketika masyarakat berdepan pelbagai gejala sosial dan keruntuhan akhlak, institusi pengajian tinggi sepatutnya tampil sebagai pelopor dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berintegriti. 

"Ibu bapa yang menghantar anak ke universiti bukan sahaja mengharapkan kecemerlangan akademik, malah berharap anak-anak mereka dibimbing dengan adab, akhlak dan sahsiah yang baik.

"Harapan ini sewajarnya dipikul bersama oleh seluruh warga universiti," katanya.

Sementara itu alumni Universiti Malaya Ustazah Asmak Harun berkata, universiti sepatutnya menyediakan ilmu, menyediakan adab, membina pemikiran, melahirkan kepimpinan dan membentuk jati diri mahasiswa.

"Saya percaya, sebahagian besar mahasiswa kali pertama berada dalam suasana seperti itu. Boleh jadi sejak kecil, ibu bapa mereka juga tidak pernah membawa ke konsert dan sangat menjaga hal yang berkaitan pergaulan.

"Namun, tanpa boleh dikawal pada minggu pertama bergelar mahasiswa, anak mereka sudah terlibat dengan program yang tidak pernah dijangkakan. Bukankah lebih indah jika malam terakhir Minggu Haluan Siswa dipenuhi dengan program yang membina jiwa," katanya pada catatan di media sosial.


Post a Comment

0 Comments