KUALA LUMPUR: Perdana Menteri memberitahu beliau tetap akan datang membantu kempen di Negeri Sembilan sempena pilihan raya negeri seperti dilakukan di Johor sekarang.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau pergi ke Johor bagi membantu kempen (Pakatan Harapan) pada hari minggu dan kemudian balik ke Kuala Lumpur.
“Di Negeri Sembilan pun saya akan datang membantu kempen dan akan bincang dengan Timbalan Perdana Menteri 1 berkaitan kempen,” katanya pada sesi soal jawab bersama menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum itu ahli parlimen Barisan Nasional Tampin, Dato' Mohd Isam Mohd Isa mencadangkan supaya PRN Negeri Sembilan diserah kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM) 1, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Kempen PRN Johor Perdana Menteri begitu kuat bekerja, jadi saya cadangkan bagilah kepada TPM1 pula pada kempen PRN di Negeri Sembilan,” katanya.
Anwar ketika menjawab soalan tersebut berkata, pimpinan di peringkat Persekutuan masih baik dan akrab.
Sebelum itu ahli parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari membangkitkan media milik kerajaan tidak sepatutnya digunakan pada kempen PRN Johor.
Namun, kata beliau apa yang berlaku pada 15 Jun lalu ceramah perdana menteri di PRN Johor disiarkan secara langsung melalui RTM.
“Logo RTM pada program ceramah itu masih lagi tertera dalam Facebook milik Perdana Menteri sehingga sekarang,” kata Fadhli.
Sebelum ini RTM menyiarkan secara langsung Ceramah Umum Pakatan Harapan ‘Keadilan Untuk Bangsa Johor’ yang dihadiri Perdana Menteri di Bakri, Muar pada 15 Jun lalu.
Fadhli juga mempersoalkan kerajaan dianggap lambat bertindak terhadap laman berita harakatdaily yang didapati menyiarkan berita tidak tepat mengenai PAS.
Bagaimanapun kata beliau tindakan tidak diambil terhadap laman berita tersebut biarpun laporan sudah dibuat.
“Jadi saya hendak bertanya perdana menteri apakah tindakan terhadap media yang buat laporan mungkin tidak tepat mengenai kenyataan PM berkaitan PRN Johor diadakan lebih awal untuk membebaskan Najib,” ujarnya.
Anwar berkata, berita tersebut hanya menggunakan tajuk yang sensasi dan sekiranya dibaca kandungan berita ia lebih menyeluruh.
Semalam beberapa laman berita melaporkan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendakwa PRN Johor diadakan semata-mata kerana ada pihak yang mahu kembali berkuasa bagi membebaskan Dato’ Seri Najib Razak.




0 Comments