RM675,000 laksana Tuisyen Rakyat Sejahtera 3.0

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM675,000 bagi melaksanakan program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) 3.0 tahun ini bagi memberi manfaat lebih 2,700 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) diperuntuk sebanyak RM15,000 bagi menjayakan program berkenaan.

Katanya, pelaksanaannya bertujuan membantu calon SPM meningkatkan pencapaian akademik melalui bimbingan yang lebih tersusun.

"Lebih 60 pelajar di setiap Dun di seluruh Kelantan akan menerima manfaat daripada pelaksanaan Tuisyen Rakyat Sejahtera 3.0," katanya pada perasmian Pelancaran dan Taklimat Pelaksanaan TRS 3.0 di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (Yik), di sini, semalam.

Turut hadir Adun Pasir Tumboh, Dato’ Abd Rahman Yunus dan Timbalan Pengarah (Akademik) Yik Sukeiri Husin.

Menurutnya, program itu melibatkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah yang dikenal pasti mempunyai pengaruh besar terhadap pencapaian keseluruhan calon.

Kata beliau pemilihan subjek tersebut dibuat bagi memperkukuh penguasaan asas, meningkatkan kefahaman serta membina keyakinan pelajar menghadapi peperiksaan.

"Program ini sebagai sokongan tambahan kepada sistem pendidikan sedia ada supaya pelajar lebih bersedia dan tidak tercicir daripada peluang mencapai kejayaan," katanya.

Wan Roslan juga berkata, kejayaan pelaksanaan TRS 3.0 bergantung kepada kerjasama strategik pelbagai agensi termasuk Yik, Institut Latihan Darul Naim (ILDAN), Jabatan Pendidikan Negeri, Majlis Guru Cemerlang serta Pusat Khidmat DUN (PKD).

Katanya, penyelarasan yang sistematik antara semua agensi pelaksana penting bagi memastikan bantuan pendidikan itu sampai kepada kumpulan sasar.

“Kerajaan negeri berharap TRS 3.0 menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi Kelantan yang berilmu, berakhlak, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada agama, negeri dan negara,” ujarnya.


 

Post a Comment

0 Comments