MPKB BRI tidak kompromi pembinaan tanpa kebenaran

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) tidak akan berkompromi terhadap pembinaan bangunan tanpa kebenaran dan bakal berdepan tindakan tegas.

Yang Dipertua MPKB BRI, Dato' Zulkifle Ab Rahman berkata, pembinaan atau pengubahsuai bangunan tanpa kebenaran akan diambil tindakan meroboh binaan yang dibuat.

Oleh itu katanya, pemantauan pembinaan tanpa kebenaran akan dipertingkat bagi memastikan semua pembangunan di Kota Bharu mematuhi undang-undang serta syarat yang ditetapkan.

"Kali ini kita tidak denda lagi. Mana-mana binaan yang dibuat tanpa kebenaran akan dirobohkan. Kenapa tidak minta kebenaran terlebih dahulu?. Siapa kata proses di MPKB-BRI lambat," katanya ketika merasmikan Program Gotong Royong Perdana MPKB BRI di Lembah Sireh hari ini.

Seramai 315 peserta menyertai program itu termasuk pelajar UiTM Kota Bharu, Kolej Poly Tech MARA, RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Geng Plastik Hijau, Pejabat Belia dan Sukan Negeri, Communication for Behavioural Impact dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

Katanya juga orang ramai yang ingin mengubah suai kediaman atau membina bangunan baharu perlu mengemukakan permohonan bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan.

Menurutnya kalau berlaku kelewatan proses kelulusan, pemohon boleh datang berbincang dengan pegawai berkaitan.

Kata beliau juga operasi penguatkuasaan turut memberi tumpuan terhadap premis yang gagal menyediakan tong sampah khas.

Zulkifle juga berkata, MPKB BRI turut memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan tahap kebersihan bandar dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan.

"Kita mahu memastikan bandar Kota Bharu sentiasa bersih. Kawasan ini dipilih kerana menjadi pusat aktiviti ekonomi, pusat pengajian dan lokasi tumpuan orang ramai termasuk pasar malam.

“Hasil tinjauan yang dilakukan pada waktu malam didapati masih terdapat segelintir masyarakat membuang sampah sesuka hati," katanya lagi.

Menurutnya, usaha menjadikan Kota Bharu bandar yang bersih memerlukan kerjasama semua pihak dan bukan hanya bergantung kepada petugas kebersihan MPKB BRI sahaja.


 

 

Post a Comment

0 Comments