Oleh Salmah Mat
Husain |
KOTA BHARU:
Strategi Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang supaya penyokong PAS
dan Perikatan Nasional (PN) menyokong calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang
tidak ditandingi PN di Johor semalam ternyata menjadi kenyataan.
Langkah itu bagi memastikan kuasa pemerintahan Johor terus berada di bawah kepimpinan orang Melayu-Islam direalisasikan.
Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 semalam memperlihatkan majoriti rakyat Johor menzahirkan penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP.
PH merekodkan jumlah kerusi Dun yang dimenangi menurun kepada lapan berbanding 12 pada PRN lepas.
Pada PRN-16 semalam Umno menang di 48 kerusi, manakala PH pula mengekalkan lapan kerusi. Parti-parti lain termasuk PN tidak memenangi sebarang kerusi.
Dr Mahfodz juga berkata, PAS Johor bersama PN akan terus istiqamah meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan kebajikan rakyat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan, ahli, petugas, jentera pilihan raya, penyokong serta pengundi PN-PAS.
“Penghargaan turut ditujukan kepada pasukan tempatan, kawasan bantu di seluruh Johor, negeri-negeri dari seluruh Malaysia serta PAS Pusat yang memberi komitmen tinggi membantu PAS Johor.
“PAS Johor juga menghormati keputusan PRN Johor Ke-16 dengan hati yang terbuka serta mengiktiraf pilihan rakyat yang dibuat secara demokratik,” ujarnya pada kenyataan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) yang diterajui Dato’ Onn Hafiz Ghazi atas kemenangan besar untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Sementara itu Pengerusi PN Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PN akan terus istiqamah membawa suara rakyat, politik matang, berintegriti serta mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan semua.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada seluruh jentera PN yang bertungkus-lumus sepanjang kempen.
“Pengorbanan masa, tenaga dan komitmen yang dicurahkan menjadi bukti bahawa perjuangan digerakkan dengan penuh kesungguhan demi membawa khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya juga keputusan PRN Johor diterima dengan hati yang terbuka dan penuh rasa hormat terhadap proses demokrasi.
Kata beliau tahniah
dan terima kasih dirakam kepada seluruh rakyat Johor yang menunaikan
tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN Johor semalam.




0 Comments