Suhakam wajar teliti isu pembangkang dinafi peruntukan

 
Oleh Salmah Mat Husain |

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) wajar membuat kajian berkaitan isu ahli parlimen pembangkang dinafikan peruntukan sehingga sekarang. 

Ahli Parlimen Arau Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim berkata, tindakan kerajaan Madani itu dianggap ketidakadilan yang dibiarkan berlaku terhadap pembangkang.

Katanya, sepatutnya Suhakam pun boleh membuat kajian perkara itu kerana ahli parlimen pembangkang dinafikan peruntukan sehingga sekarang.

Menurutnya wujud layanan tidak sama rata terhadap Ahli Parlimen pembangkang kerana mereka tidak menerima peruntukan seperti Ahli Parlimen kerajaan.

“Keadaan itu tidak adil dan bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia yang sering diperjuangkan. Kami ahli parlimen pembangkang tidak diberi peruntukan, sedangkan kami juga dipilih oleh rakyat.

"Suhakam perlu melihat perkara ini kerana ia melibatkan hak serta layanan yang adil kepada semua ahli parlimen," katanya ketika membahaskan laporan tahunan berkaitan Suhakam di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun menurut beliau, ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, peruntukan turut diberikan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Namun katanya, amalan itu tidak diteruskan oleh kerajaan sekarang.

Beliau berkata, keadaan tersebut bertentangan dengan janji kerajaan yang sebelum ini memperjuangkan keadilan dan layanan sama rata kepada semua pihak.

“Rakyat berhak melihat layanan yang adil kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik kerana setiap ahli parlimen dipilih untuk mewakili rakyat di kawasan masing-masing.

“Apa yang diperjuangkan dahulu sewajarnya diterjemahkan dalam pentadbiran,” ujarnya.

Menurutnya ketika pemimpin kerajaan yang ada sekarang berada di saf pembangkang mereka berjuang untuk mendapatkan keadilan dan sama rasa.

Namun katanya, apa yang berlaku sekarang mereka yang merasa, namun pembangkang tidak.

Shahidan juga menyarankan kerajaan meningkatkan peruntukan kepada Suhakam daripada RM13 juta kepada RM20 juta bagi memperkukuh peranan institusi itu dalam mempertahankan hak asasi manusia.

Kata beliau langkah itu penting bagi membolehkan Suhakam membuka lebih banyak cawangan di negeri-negeri, selain meningkatkan keupayaan operasi serta kebajikan ahli suruhanjayanya.

Menurutnya juga masyarakat perlu memahami fungsi dan bidang kuasa suruhanjaya itu sebelum mengharapkan pelbagai tindakan daripadanya.

"Suhakam tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa. Tugasnya menjalankan siasatan, mengadakan inkues awam dan mengemukakan syor kepada kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, hampir semua negara mempunyai institusi hak asasi manusia termasuk Indonesia, Filipina, Australia, Thailand dan Kemboja.

 

 

Post a Comment

0 Comments