Orang ulu seru tolak kerajaan Madani

 
SANDAKAN: Pelaksanaan Budi Diesel bermula 1 Julai lepas dengan menawarkan subsidi pada harga RM2.10 seliter, tidak dapat dimanfaat ramai lagi penduduk di pedalaman Sabah.

Ini kerana syarat untuk memohon bantuan Budi Individu (subsidi diesel) perlu memiliki kenderaan diesel persendirian dengan Cukai Jalan (LKM) aktif.

Selain itu, pendaftaran kenderaan mestilah berdaftar di Semenanjung Malaysia dan didaftarkan di JPJ atas nombor MyKad sendiri.

Tanpa memenuhi syarat tersebut menyebabkan ramai pemilik kenderaan diesel di pedalaman Sabah tidak layak menerima Budi Diesel.

Seorang penduduk, Mejshafiq Martin memberitahu sebelum ini beliau membeli kenderaan pacuan empat roda menggunakan nama isteri.

Katanya, disebabkan masalah tersebut beliau tidak layak menerima subsidi Budi Diesel dan terpaksa membeli minyak diesel pada harga tinggi.

“Apakah Perdana Menteri tahu jalan raya yang dilalui orang ulu hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda sahaja. Kami orang ulu terpaksa membeli kenderaan pacuan empat roda bukan kerana kami orang kaya, sebaliknya kerana ia adalah keperluan.

“Kami mahu juga beli Kancil atau Proton tetapi jalan kami di sini tidak boleh dilalui kenderaan kecil,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan pelaksanaan Budi Diesel pada harga RM2.10 seliter bermula 1 Julai, bagi mengurangkan ketirisan subsidi kerajaan.

Dan ia juga bertujuan memastikan bantuan disalurkan terus kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Menurut Kementerian Kewangan pelaksanaan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia serta 300,000 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Mejshafiq mempersoalkan syarat kelayakan untuk mendapat subsidi Budi Diesel seperti yang diumumkan kerajaan.

“Budi apa? Sebaiknya ia digelar subsidi bodoh. Kalau saya tahu 10 tahun lalu peraturan membeli minyak perlu menunjukkan kad pengenalan dan kereta atas nama kita..

“Ini bukan menyenangkan rakyat, saya menyeru rakyat Malaysia tolak kerajaan Pakatan Harapan pimpinan PMX pada pilihan raya umum nanti,” ujarnya.

 

 

 

 

 

Post a Comment

0 Comments