KOTA BHARU: Warga
emas yang tidak pernah berkahwin, tidak mempunyai zuriat dan menjalani
kehidupan bersendirian tanpa tempat bergantung wajar mendapat pembelaan
kerajaan.
Pengarah Pusat Khidmat Dun (PKD) Kota Lama, Dato' Sr Zamri Ismail berkata, ketika ini terdapat ramai golongan warga emas yang tidak pernah berkahwin dan hidup bersendirian.
Katanya, golongan terbabit tentunya berdepan dengan pelbagai kesukaran selepas usia semakin lanjut dan menghidapi pelbagai jenis penyakit.
“Di Kelantan sehingga sekarang terdapat pelbagai jenis bantuan kepada golongan warga emas dan penduduk miskin, namun tiada bantuan khusus diberi kepada kelompok terbabit.
"Saya akan cadang kepada kerajaan negeri agar skim baru diwujudkan untuk membantu golongan terbabit supaya mereka tidak terabai.
"Kita angkat di peringkat Dun dan kawasan terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat kerajaan negeri," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan kepada armalah masyarakat Cina dan India di Pusat Khidmat Masyarakat DHPP di sini, semalam.
Hadir sama Penyelia Dun Kota Lama, Ir Nor Shakiman Muhammad dan Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS Kelantan, Lim Guan Seng.
Zamri juga berkata, golongan warga emas yang tidak pernah berkahwin dan hidup bersendirian melibatkan semua bangsa termasuk Melayu, Cina, India dan Siam.
Menurutnya juga program berkenaan merupakan sebahagian daripada program kebajikan dilaksana kerajaan Kelantan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Keadaan ekonomi hari ini begitu dirasai dengan peningkatan harga barang keperluan harian yang memerlukan kebijaksanaan dalam mengurus perbelanjaan keluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Ir Nor Shakiman berkata, kerajaan negeri menyediakan pelbagai skim kebajikan kepada rakyat bermula daripada kelahiran sehingga meninggal dunia.
Antaranya kata beliau Skim Cakna Aulad, Skim Gerbang Azziwaj, sumbangan pendidikan, bantuan penyakit kronik dan kifaalah warga emas.



0 Comments