KOTA BHARU: Kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahin dilihat gagal mengetengahkan citra kepimpinan bijaksana dan berpandangan jauh yang mengutamakan pendekatan damai berkait isu yang mempunyai kesan di peringkat antarabangsa.
Setiausaha Agung PAS Dato Seri Takiyuddin Hassan berkata, Perdana Menteri seharusnya menzahirkan kepercayaan dan harapan positif Malaysia agar China dan Taiwan boleh merapatkan jurang yang wujud secara aman melalui dialog yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan mengekalkan kestabilan wilayah dan dunia.
Katanya lebih membimbangkan lagi laporan media utama yang memetik kenyataan jurucakap kerajaan menunjukkan kabinet tidak membincangkan kenyataan Anwar berkenaan isu Taiwan dalam mesyuarat kabinet.
"Ini menimbulkan persoalan amat penting mengenai koordinasi dan tanggungjawab kolektif anggota kerajaan berhubung dasar luar Malaysia," katanya pada kenyataan hari ini.
Baru-baru ini kenyataan Perdana Menteri pada temu bual dengan Al-Jazeera melibatkan konflik China dan Taiwan, membayangkan kemungkinan penggunaan kekuatan ketenteraan bagi penyuraian konflik tersebut.
Takiyuddin berkata, PAS merasakan penegasan PM berhubung pendirian Malaysia mengenai dasar Satu China (One China) bukan masalah, namun kenyataannya menggambarkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China disifatkan seumpama noktah.
Katanya perbandingan yang dibuat dengan situasi di Malaysia dengan penggunaan kekuatan ketenteraan sebagai pilihan bagi menghalang mana-mana negeri yang mahu "menarik diri" daripada persekutuan telah meletakkan negara di kedudukan diplomatik yang sukar.
"PAS percaya Malaysia perlu membezakan antara dasar diplomatik yang telah mantap dengan pendirian memihak tentang bagaimana konflik China-Taiwan harus diselesaikan.
"Dasar Satu China tidak harus membenarkan tindakan unilateral mana-mana pihak atau menghalang Malaysia daripada menyokong dan mengutamakan dialog damai, persefahaman dua hala atau sikap kekangan dan kawalan diri (restraint) pihak-pihak terlibat," ujarnya.
Kata beliau apabila Anwar dilihat cuba menganjurkan kemungkinan penggunaan kekerasan dalam isu tersebut, beliau tanpa sedar menyempitkan ruang diplomasi Malaysia, selain melemahkan pendirian dan kecenderungan ASEAN yang mengutamakan dasar tidak campur tangan dan penyelesaian konflik secara aman.
Menurutnya PAS menegaskan Malaysia tidak harus membiarkan dilihat memihak kepada mana-mana kuasa besar dalam pertikaian dan konflik yang berpotensi besar menjadi lebih buruk.
Beliau berkata, kekuatan negara sangat bergantung kepada kemampuan Malaysia menjalin hubungan konstruktif dengan China, Amerika Syarikat, Taiwan atau rakan kongsi lain di semua peringkat dalam pelbagai bidang, sekali gus mempertahankan kepentingan negara.
"PAS turut menegaskan Malaysia tidak harus dipaksa memilih antara Beijing dengan Taipei atau antara Beijing dengan Washington, sebaliknya tanggungjawab lebih besar kita sebagai sebuah negara yang dihormati mendorong kedua-dua pihak mencari titik pertemuan bersama yang menguntungkan semua pihak.
"Situasi ketegangan semasa yang turut dipengaruhi oleh perkembangan politik domestik kedua-dua pihak tidak harus diterima sebagai trajektori ke arah konflik yang muktamad dan tidak boleh diterbalikkan," ujarnya.
Katanya Malaysia perlu menampilkan kepimpinan bijaksana yang mampu berdiri lebih tinggi daripada pertikaian yang wujud, berprinsip untuk mempertahankan komitmen diplomatik yang telah mantap, berpandangan jauh dalam memelihara ruang strategik negara.

0 Comments