Oleh Aslani M |
KOTA BHARU:
Selepas hampir enam tahun berlalu, Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) kembali
menjadi lokasi tempat perhimpunan pemimpin dan pendukung PAS dari seluruh negara.
Muktamar Tahunan PAS kali ke-72 akan diadakan di PUTIK, Pengkalan Chepa pada 4 dan 5 September ini.
Kali terakhir, PUTIK menjadi lokasi Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-66 pada 13 September 2020, ketika pandemik Covid-19 sedang memuncak.
Malah, lebih istimewa lagi bangunan PUTIK yang tersergam indah berhampiran Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu menjangkau usia 25 tahun, tahun ini.
Bangunan PUTIK dibina pada tahun 2001, perletakan batu asas disempurnakan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Fasa perama siap pada September 2001, melibatkan kos kira-kira RM6.8 juta.
Kerja-kerja pembinaannya hanya mengambil masa 160 hari. Dewan besar PUTIK boleh menampung sehingga 4,000 orang, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden termasuk sistem audio dan multimedia.
Selepas siap pembinaannya, PUTIK menjadi lokasi sambutan ulangtahun ke-50 PAS Malaysia, di mana perasmiannya disempurnakan Presiden PAS, Dato’ Fadzil Mohd Noor.
Dewan Besar PUTIK kini berwajah baru yang lebih segar selaras dengan peredaran zaman. Selain itu turut dilengkapi rumah tetamu berhampiran dengan surau.
Bangunan pusat pentadbiran PUTIK juga dialih ke lokasi baharu. Malah kerja-kerja menambahbaik persekitaran Dewan PUTIK masih dilaksanakan.
Muktamar kali ini juga mencatat sejarah memandangkan usia PAS menjangkau 75 tahun selepas ditubuh pada tahun 1951 di Bangunan Kelab Melayu Bagan di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-72 dengan ucaptama akan disampaikan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 4 September.
Sehari sebelum itu akan berlangsung Muktamar Dewan Ulama dijangka diadakan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre, berhampiran Stadium Sultan Muhammad IV.
Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia pula akan diadakan di Dewan Kompleks Pendidikan Islam Bachok. Manakala Muktamar Dewan Pemuda PAS dijangka diadakan di Hotel Grand River View.
Selain itu turut diadakan Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) diadakan di Dewan Perniagaan Cina, Jalan Kebun Sultan.
Konvensyen Dewan Assabiqun pula akan diadakan Dewan Yayasan Islam Kelantan di Bandar Baru Tunjong.
PAS Kelantan juga akan mengadakan Jamuan Amal pada 22 Ogos ini bertempat di Dewan Konvensyen KTC. Program jamuan amal akan dimeriahkan dengan kedatangan tetamu undangan dari Negeri Sembilan.








0 Comments