Penyatuan orang Melayu cetus gelombang lebih besar

 

Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Rakyat Negeri Sembilan merintis penyatuan orang Melayu di negara ini bagi membentuk kekuatan politik yang lebih besar.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kemenangan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Sabtu lalu dijangka mencetus gelombang lebih besar di seluruh negara.

Katanya, kejayaan PN-BN di Negeri Sembilan diyakini mampu menjadi pencetus kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

“Sekiranya momentum yang berlaku di Negeri Sembilan dapat dikekalkan dengan semangat saling memerlukan antara satu sama lain, ia dijangka dapat merubah landskap politik di negara ini,” katanya di sini.

PRN Negeri Sembilan ke-16 yang diadakan Sabtu lepas mencatat sejarah apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas menguasai negeri itu sejak 2018.

Pada PRN tersebut BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), manakala PN (7) dan Pakatan Harapan (PH) pula menang di 11 kerusi.

Dua tokoh utama PH kecundang pada PRN tersebut iaitu bekas Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Dr Mohamed Fadzli juga berkata, kemenangan PN-BN turut direalisasikan hasil sokongan pengundi bukan Islam yang tidak terpengaruh dengan propaganda PH khususnya DAP.

Katanya, sebelum ini pihak terbabit cuba menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam terhadap PAS.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat pula berkata, kemenangan berkenaan hasil kerjasama parti terbesar orang Melayu.

Katanya, berkat kerjasama orang Melayu berjaya menumbangkan PH yang menguasai Negeri Sembilan sejak 2018.

“Ini menunjukkan apabila kita bersatu dan bekerjasama, kekuatan yang ada mampu menghasilkan kejayaan lebih besar,” katanya.

Oleh itu kata beliau kejayaan di Negeri Sembilan wajar dijadikan iktibar bagi mengubah landskap politik negara.

Post a Comment

0 Comments