Oleh Damia Hana |
KOTA BHARU: Pihak
yang sering menggunakan istilah ‘sakau RM10 bilion’ perlu menghentikan
perbuatan tersebut selagi tiada bukti menunjukkan wang Tabung Haji benar-benar
dicuri.
Bekas Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Dato' Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata, kebenaran tidak boleh dipilih mengikut musim pilihan raya.
"Sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas, dedahkan keseluruhan fakta, bentangkan status semua siasatan dan biarkan undang-undang menentukan siapa yang bersalah," katanya pada kenyataan.
Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Lembaga Tabung Haji (TH) mengalami kerugian RM10 bilion.
Oleh itu katanya individu atau pihak yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan mengalami kerugian dan penipuan akan disiasat pihak berkuasa.
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji mendedah pelbagai isu termasuk tadbir urus, pembayaran hibah, dasar rosot nilai, pengurusan pelaburan, pembayaran bonus serta pertindihan tanggungjawab dalam kalangan anggota lembaga dan pengurusan anak syarikat.
Dr Ahmad Marzuk yang juga ahli parlimen Pengkalan Chepa berkata, segala kelemahan yang dikenal pasti mesti diperbaiki, manakala sebarang unsur salah laku hendaklah disiasat secara profesional.
“Persoalannya mengapa hanya akaun TH diaudit semula oleh firma PricewaterhouseCoopers (PwC), sedangkan penyata kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017 menerima Sijil Audit Bersih daripada Jabatan Audit Negara.
“Pada 2017 walaupun terdapat penekanan terhadap beberapa perkara, Ketua Audit Negara tetap memberi pendapat penyata kewangan TH memberi gambaran yang benar dan saksama.
"Kerajaan perlu menjelaskan mengapa penilaian firma swasta dianggap lebih muktamad berbanding audit institusi tertinggi negara,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan peningkatan defisit TH daripada RM4.1 bilion pada 2017 kepada sekitar RM10.9 bilion pada akhir 2018 selepas pertukaran kerajaan.
Menurutnya, walaupun perkara itu diambil maklum dalam laporan RCI, pelan penstrukturan dan pemulihan yang dilaksanakan selepas Mei 2018 tidak termasuk sepenuhnya dalam skop siasatan.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengapa kerugian tambahan sepanjang 2018 serta prestasi Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) tidak diberi penelitian yang sama.
Marzuk berkata, sehingga kini UJSB masih mempunyai tanggungan sekitar RM25.85 bilion kepada TH, manakala sukuk pertama yang matang pada 29 Mei 2026 tidak diselesaikan sepenuhnya, sebaliknya sebahagian besar tanggungan dilanjutkan sehingga tahun 2036.
Beliau turut menggesa kerajaan menjelaskan status semua laporan polis dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat TH sejak 2018 dan 2019.
"Jika ada bukti jenayah, dakwa. Jika tiada bukti mencukupi, jangan terus menghukum melalui pentas politik," katanya.
Beliau juga menyifatkan masa pendedahan laporan RCI hanya beberapa hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mengundang persoalan memandangkan kerajaan sudah lama memiliki laporan itu.


0 Comments