Dun Kelantan lulus RUU Kesalahan Syariah 2026

 

KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah 2026 dengan sokongan kesemua ahli-ahli Dewan.

Sebelum itu Speaker Dun Dato’ Sri Amar Diraja Mohd Amar Abdullah meminta sokongan lisan daripada Ahli-ahli Dewan selepas sesi penggulungan oleh Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Dr Mohamed Fadzli berkata, proses penggubalan tidak dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya mengambil masa dua tahun enam bulan.

Malah, kata beliau drafnya melalui penelitian Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Induk serta dibawa kepada Jemaah Ulama Kelantan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Begitu juga pandangan pakar perlembagaan turut diperolehi bagi mengurangkan ruang kepada cabaran perundangan tersebut pada masa hadapan.

Bagaimanapun kata beliau sekiranya terdapat teguran atau persoalan terhadap sesuatu peruntukan, kerajaan negeri bersedia menariknya semula untuk penelitian dan perbincangan lanjut sebelum dibentangkan.

“Pembahas menegaskan teguran pakar tidak semestinya bermaksud sesuatu peruntukan itu bercanggah dengan perlembagaan, ia boleh menjadi pandangan untuk memperkemaskan lagi penggubalan.

“Kerajaan negeri mahu memastikan RUU yang dibentangkan secara berhati-hati, teliti dan selaras dengan kerangka perlembagaan berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Prinsip ignorance of the law is no excuse turut disentuh bagi menjelaskan sifat undang-undang selepas dilulus dan dikuatkuasakan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun).  

Sesuai 

Menurutnya penggubalan turut mengambil kira perubahan masyarakat dan evolusi undang-undang, supaya perundangan yang dibentuk sesuai dengan keadaan semasa.

Beliau juga berkata, cadangan tidak dimasukkan secara literal ialah kerajaan mahu memastikan ‘tidak ada ruang untuk dicabar’ kerana dari sudut undang-undang sesuatu undang-undang tetap boleh dicabar.

“Lebih tepat kerajaan berusaha meminimumkan ruang percanggahan perlembagaan dan memperkukuhkan ketahanan peruntukan daripada cabaran undang-undang,” katanya.

Petang semalam lima Adun mengambil bahagian membahas menyokong RUU Kesalahan Syariah Kelantan 2026 iaitu Adun Pasir Tumboh, Dato’ Abdul Rahman Yunus; Mohd Syahbuddin Hashim (Galas), Wan Rohimi Wan Daud (Melor), Zameri Mat Nawang (Jelawat) dan Nik Bahrum Nik Abdullah (Chempaka).

Dr Mohamed Fadzli berkata, beberapa cadangan dikemukakan dan kerajaan akan menelitinya mengikut kemampuan untuk dilaksanakan.

Kata beliau pembahas menegaskan undang-undang sentiasa berkembang (evolution of law) mengikut perubahan keadaan dan keperluan masyarakat.

“Ini kerana undang-undang yang diluluskan Parlimen juga boleh dicabar dan dibatalkan melalui proses kehakiman jika terdapat percanggahan dengan perlembagaan,” ujarnya.

Menurutnya juga Perkara 121 turut disentuh dalam konteks konflik bidang kuasa antara mahkamah sivil dan Mahkamah Syariah. Antaranya Kanun Keseksaan dan Kanun Tanah Negara yang berkembang selepas diterima dan disesuaikan dengan keadaan Malaysia.

Bagaimanapun katanya sebelum sistem perundangan moden berasaskan common law berkembang, undang-undang Islam mempunyai kedudukan penting dalam sejarah perundangan Tanah Melayu.

“Dalam konteks RUU Kesalahan Syariah Kelantan 2026, persoalan utama ialah bagaimana memastikan peruntukan yang digubal dapat bertahan daripada cabaran perundangan pada masa akan datang,” ujarnya.

Tanggungjawab

Menteri Besar pula berkata, RUU Kesalahan Syariah Kelantan 2026 dibentang ekoran pembatalan 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 pada 9 Februari 2024 oleh Mahkamah Persekutuan.

Katanya, sebagai orang Islam sama ada wakil rakyat atau tidak, semuanya mempunyai tanggungjawab untuk mendaulatkan syariat Islam.

“Tanggungjawab semua tanpa mengira parti, tanpa mengira fahaman politik. Ini suatu kewajipan. Tetapi malang bagi kita, kerana lahir dalam kalangan umat Islam, orang yang tidak mengenal jahiliah.

“Orang Islam yang tidak mahu, menolak undang-undang Islam. Mereka mencari helah untuk membatalkan syariat undang-undang Islam. Syariat dalam Islam ada hudud, qisas dan takzir,” ujarnya.

Kata beliau selepas 16 peruntukan Undang-Undang Syariah dibatalkan pada 2024, tanggungjawab kerajaan negeri untuk mengisi semula ruang perundangan dalam bidang kuasa yang dibenarkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak boleh membiarkan keadaan tanpa undang-undang kerana rakyat akan mempersoalkan tanggungjawab wakil rakyat.

 

Post a Comment

0 Comments