KOTA BHARU: Kelantan bersedia menjadi negeri yang berdaya saing dan mampu mengambil manfaat ekonomi daripada kemajuan teknologi yang sedang berkembang sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, pembangunan 5G begitu penting kepada pembangunan ekonomi yang mampu membuka ruang kepada pertumbuhan syarikat teknologi.
Katanya, ia dapat meningkatkan keupayaan usahawan, memperkukuhkan sektor pendidikan serta menarik pelaburan dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), cloud computing, pusat data dan perkhidmatan digital.
“Kita mahu manfaat pembangunan digital dapat dirasai secara menyeluruh meliputi kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman bagi membantu usahawan kecil serta sektor-sektor ekonomi di seluruh Kelantan.
“Kelantan perlu bergerak lebih jauh ke arah membina sebuah ekosistem digital yang lengkap,” katanya ketika merasmikan Seminar Pemerkasaan 5G di Kelantan & Pameran 5G, Digital, Sains dan Teknologi 2026 di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre (KTC) hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Dato’ Sr Zamri Ismail, Timbalan Exco Kamaruzaman Mohamad dan Ketua Pegawai Operasi Infra Quest Sdn Bhd, Saiful Adli Abu Bakar.
Program itu dianjur Infra Quest membincangkan perkembangan, keperluan dan hala tuju pembangunan infrastruktur 5G serta ekosistem digital di Kelantan.
Wan Roslan juga berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pemain industri begitu penting.
Kata beliau juga kemajuan teknologi mesti dipandu oleh nilai dan amanah.
“Teknologi yang dibangunkan perlu membawa maslahah kepada rakyat, membuka peluang pekerjaan, meningkatkan produktiviti, menjaga keselamatan serta privasi dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak Kelantan akan menjadi negeri yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi ekonomi masa hadapan, seterusnya menjadikan teknologi sebagai salah satu pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri,” ujarnya.




0 Comments