KOTA BHARU: Kemiskinan dan kehilangan ibu bapa bukan penghalang untuk seseorang pelajar mencapai kejayaan, memandangkan ramai tokoh besar lahir daripada keluarga yang serba kekurangan.
Menteri Besar Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, pelajar jangan berasa lemah atau rendah diri kerana keluarga mereka miskin atau anak yatim.
Sebaliknya kata beliau keadaan tersebut hendaklah menjadi pembakar semangat untuk terus menuntut ilmu dan membela keluarga.
“Imam al-Syafie merupakan antara contoh terbaik, seorang tokoh besar yang melalui kehidupan penuh cabaran sejak kecil, termasuk membesar sebagai anak yatim dalam keadaan serba kekurangan.
“Namun Imam Syafie membesar menjadi ulama besar dan pengasas Mazhab Syafi‘i yang rujukannya kekal hingga kini,” katanya pada Majlis Penyampaian Dermasiswa PURNAMA di Dewan Tok Guru, Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Pada majlis itu seramai 450 pelajar dari 45 Dewan Undangan Negeri (Dun) yang terpilih daripada sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) menerima sumbangan berkenaan.
Menurutnya tugas utama seorang pelajar menuntut ilmu sebagai persiapan sehingga menjadi seorang yang faqih sebelum akhirnya diangkat sebagai pemimpin pada masa akan datang.
Katanya, proses menuntut ilmu tidak terhenti walaupun seseorang itu telah menjadi pemimpin.
Beliau turut mengingatkan pelajar yang mempunyai kehidupan lebih selesa supaya mensyukuri segala nikmat tersebut dengan memanfaatkannya sebaik mungkin.
Sementara itu, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Kelantan (PURNAMA) menyumbang sejumlah RM225,000 tahun ini bagi disumbang kepada 450 pelajar.
Pengerusi PURNAMA Datin Wan Norhanita Wan Yaakob berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan dan pendidikan golongan asnaf sebagai usaha membantu melahirkan generasi pewaris negeri yang berilmu dan berdaya saing.
Katanya, hari ini pihaknya menyantuni seramai 450 pelajar terpilih daripada sekolah-sekolah YIK melalui penganugerahan Dermasiswa PURNAMA sebanyak RM500 tiap seorang.
Menurut beliau, pendidikan merupakan asas utama dalam membina generasi berilmu, berkualiti dan berdaya saing.
Beliau juga berkata, RM200 daripada jumlah sumbangan akan diserah terus kepada pelajar, manakala baki RM300 diamanahkan kepada guru bagi menguruskan perbelanjaan berkaitan keperluan pendidikan pelajar.




0 Comments