Kelantan sedia pertahan Enakmen Kesalahan Syariah

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersedia mempertahankan Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 sekiranya dicabar di mahkamah.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sebarang cabaran terhadap undang-undang merupakan hak yang dibenarkan, manakala keputusan mengenai kesahihannya terletak kepada mahkamah.

“Siapa-siapa boleh cabar undang-undang. Undang-undang memang boleh dicabar dan mahkamahlah yang menentukan sama ada ia mempunyai asas atau tidak,” katanya selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan peguam Nik Elin Nik Rashid yang pernah mencabar undang-undang syariah Kelantan memberitahu terdapat sekurang-kurangnya 11 peruntukan dalam enakmen baharu yang berpotensi dicabar.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak berhasrat mencabar enakmen berkenaan selepas pertikaian selama dua tahun yang berakhir pada Februari 2024.

Pada 2024 Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 daripada 18 peruntukan yang dicabar dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Keputusan itu antara lain mendapati Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan dianggap melampaui bidang kuasa apabila menggubal beberapa peruntukan yang termasuk dalam bidang kuasa Persekutuan.

Dr Mohamed Fadzli juga berkata, penyediaan enakmen baharu dibuat dengan mengambil kira pandangan pakar undang-undang, Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta dua pakar perlembagaan dari universiti tempatan.

Kata beliau pandangan pihak berkenaan diteliti sebelum beberapa penyesuaian dibuat bagi memuktamadkan rang undang-undang tersebut.

“Kita juga merujuk Perlembagaan Persekutuan dan alasan penghakiman dalam kes Nik Elin sebelum merangka enakmen ini.

“Kerajaan Negeri yakin peruntukan baharu telah mengambil kira kelemahan yang menjadi asas cabaran terhadap undang-undang syariah Kelantan sebelum ini.

“Kita rasa tidak ada sebab lagi untuk dicabar kerana alasan yang digunakan sebelum ini kita cuba atasi dari sudut undang-undang dan syariah,” katanya.

Beliau juga berkata, penggubalan enakmen berkenaan bukan bertujuan menunjukkan kuasa atau menjadi retorik politik, sebaliknya merupakan tanggungjawab Dun sebagai badan perundangan negeri.

Menurutnya, peruntukan ta’zir yang diluluskan juga bukan bertujuan menghukum secara sewenang-wenangnya, tetapi sebagai langkah pencegahan demi menjaga ketenteraman dan keharmonian masyarakat.

Beliau menjelaskan sebarang hukuman hanya boleh diputuskan mahkamah selepas melalui proses perundangan yang sewajarnya.

Bagaimanapun katanya Kerajaan Kelantan akan terus mempertahankan enakmen tersebut sekiranya dicabar.

“Kita akan lawan di mahkamah. Sekiranya mahkamah membatalkan mana-mana peruntukan, kita akan teliti semula dan kembali dengan penambahbaikan,” katanya.

Menurutnya juga status Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 kini melalui proses mendapatkan Royal Assent sebelum boleh dikuatkuasakan mengikut tatacara yang ditetapkan.


 

 

Post a Comment

0 Comments