KOTA BHARU: Rakyat Kelantan dinasihat tidak memasuki Thailand, khususnya tiga wilayah di selatan negara itu buat sementara waktu sehingga keadaan keselamatan kembali aman.
Timbalan Menteri Besar, Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, larangan itu dibuat demi menjaga keselamatan rakyat negara ini berikutan perkembangan terkini yang melibatkan insiden keganasan di wilayah berkenaan.
Menurut beliau, sekiranya terdapat urusan penting yang memerlukan rakyat Kelantan ke Thailand, mereka dinasihatkan lebih berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.
“Kalau perlu hendak ke sana (Thailand) hendaklah berhati-hatilah,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini Ketua Polis Kelantan Dato’ Mohd Yusoff Mamat menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke Selatan Thailand jika tiada urusan penting.
Timbalan Menteri Besar juga berkata, hubungan Kelantan dengan Thailand rapat di mana ada rakyat kedua-dua negara mempunyai hubungan kekeluargaan.
Menurutnya juga kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan keselamatan di Selatan Thailand memandangkan kedudukan Kelantan bersempadan dengan negara berkenaan.
Media Thailand sebelum ini melaporkan seluruh wilayah Narathiwat dikenakan perintah berkurung susulan siri insiden keganasan, termasuk serangan pembakaran dan letupan yang melanda beberapa kawasan.



0 Comments