Kerjasama PN-BN hanya persefahaman politik

 
KOTA BHARU: PAS akan meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN)  sebagaimana dilaksanakan dalam bentuk persefahaman politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan dan Johor.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS dan BN tidak membincangkan soal penggabungan ketika ini, sebaliknya memberi tumpuan kepada bentuk kerjasama politik.

“Berhubung kerjasama PAS dan BN saya ingin jelaskan ia bukan soal penggabungan, tetapi persefahaman politik.

“Kerjasama politik sebagaimana yang berlaku di Negeri Sembilan dan Johor dalam bentuk persefahaman politik. Mungkin situasi serupa boleh berlaku di Melaka,” katanya ketika ditemui di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) semalam.

Muktamar kali ini mencatat sejarah sekali lagi apabila turut dihadiri pemimpin utama Umno pada majlis perasmian Jumaat lepas.

PAS dan Umno pernah menjalin kerjasama pada 2018 sehingga membentuk Piagam Muafakat Nasional, namun ia tidak bertahan lama.

Menurut Tuan Ibrahim pada masa ini tidak timbul soal penyatuan, sebaliknya perkara yang lebih penting wujud persefahaman antara kedua-dua parti.

Kata beliau perkara yang paling penting mewujudkan persefahaman antara kedua-dua pihak.

Ditanya mengenai kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN), beliau berkata, belum ada tarikh ditetapkan bagi membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

Katanya, perkara berkenaan dalam proses pengurusan dan keputusan dijangka dibuat mungkin selepas muktamar.

Bagaimanapun menurut beliau Bersatu masih merupakan anggota gabungan komponen PN.

 

 

 

 

 

 

Post a Comment

0 Comments