KOTA BHARU: Melihat
anak-anak kecil, remaja dan warga emas mengelek botol bagi mengisi air yang
dihantar ke bumi Gaza begitu menghibakan.
Botol-botol kosong diletak memanjang sehingga ke lori bantuan yang membawa air bersih bagi keperluan penduduk di Gaza.
Selepas itu mereka mengangkat botol berisi air pulang ke khemah tempat berteduh. Itulah rutin harian mereka sekiranya ada bantuan bekalan air dan makanan datang ke Gaza.
Sebaliknya tanpa bantuan dari luar tiba, mereka tetap meneruskan sisi kehidupan harian dalam serba kekurangan. Penderitaan ditanggung akibat kerangkusan dan kezaliman zionis Yahudi yang tidak pernah berhenti.
Sekarang penduduk di Gaza bergantung harap dengan bantuan dari luar yang disalur pelbagai pihak termasuk NGO dari Malaysia antaranya Gabungan NGO Suara Gaza.
Pengerusi NGO terbabit, Ts Br PMr Nazri Deraman berkata, penduduk di utara Gaza tidak mendapat bantuan bekalan air bersih dan makanan dari luar lebih tiga minggu.
Bagaimanapun katanya, beberapa hari lepas bantuan dihantar ke penduduk di tengah dan selatan Gaza.
“Kami terpaksa menghadkan misi bantuan hanya satu hingga tiga kali sahaja seminggu kerana kekurangan dana. Sekarang hanya dua dari enam pasukan yang beroperasi menghantar bantuan makanan dan air ke Gaza.
“Kami amat berharap agar misi bantuan tersebut dapat diteruskan sebagaimana sebelum ini yang dilaksanakan hampir setiap hari,” katanya di sini.
Menurutnya juga penduduk di Gaza sekarang berada dalam keadaan serba kekurangan. Mereka hanya menunggu belas ihsan umat Islam dari seluruh dunia untuk mendapatkan sedikit air dan makanan.
Oleh itu beliau merayu sumbangan dana daripada umat Islam di negara ini bagi membolehkan misi bantuan kepada penduduk di Gaza dapat diteruskan.
Sumbangan boleh disalur melalui akaun RHB Bank - 2530 1600 0084 98 atas nama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan.
Penyumbang yang berminat mendapatkan laporan lengkap bantuan yang dihantar boleh menyertai Channel Suara Gaza di link https://whatsapp.com/channel/0029VaszhED2ER6ZFm6YLk3M
Maklumat lanjut boleh hubungi Haji Nazri di talian 013 9811 605.




0 Comments