KOTA BHARU: Bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Razak boleh memberi sumbangan idea, pandangan dan pengalaman demi untuk kebaikan negara semasa menjalani tahanan di rumah.
Setiausaha Agung PAS Dato' Seri Takiyuddin Hassan berkata, tahanan di rumah amat bermakna kepada keluarganya dan seluruh rakyat Malaysia yang menghargai jasa serta khidmat baktinya sebagai pemimpin yang membawa pembangunan negara dan kemakmuran rakyat."PAS melafaz setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT dan merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong di atas ampuni perkenan pengampunan bersyarat kepada Dato’ Sri Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 dan tertakluk pembayaran denda sejumlah RM50 juta," katanya pada kenyataan.
Media hari ini melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya membayar denda RM50 juta.
Perkara itu diumum Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri pada kenyataan hari ini.
Bagaimanapun Najib hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat itu terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara.


0 Comments