
KOTA BHARU: Pelajar
sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) membuktikan kemampuan dalam Malaysia
Techlympics 2026 Peringkat Zon Pantai Timur 2.0, apabila meraih kejayaan pertandingan AI Vibe Coding Drone, reka bentuk 3D, robot tempur dan FC-1 AI.
Malaysia Techlympics Zon Timur 2.0 diadakan pada 23 Ogos lepas di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok yang melibatkan pertandingan Cabaran Siasatan Jenayah (CSI), Robot Tempur, FC 1 AI Kereta Roket dan Reka Bentuk 3D.
Anggota Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, masa depan dunia banyak digerakkan oleh kemajuan teknologi.
Oleh itu katanya, pelajar perlu dipersiapkan bukan sekadar untuk mengikuti perubahan, namun mempunyai ilmu dan keberanian untuk mencipta perubahan.
“Kemajuan teknologi mesti berjalan bersama nilai. Kecerdasan tanpa adab boleh tersasar, manakala teknologi tanpa panduan iman boleh hilang arah.
“Sebab itu kita mahu melahirkan generasi yang menguasai ilmu dan teknologi, tetapi dalam masa yang sama kukuh aqidah, baik akhlak dan tinggi integriti,” katanya ketika merasmi Penutup Karnival STEM Peringkat Negeri di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra hari ini.
Karnival itu berlangsung pada 19 dan 20 September sempena Program Pembangunan Sains dan Teknologi Negeri Kelantan Tahun 2026.
Ia dianjurkan Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan kerjasama YIK, Yayasan Kelantan Darulnaim dan Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd.
Wan Roslan juga berkata, karnival tersebut mendekatkan generasi muda dengan dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan.
Menurutnya minat dalam bidang berkenaan boleh ditingkatkan kepada mencuba, menguji dan menghasilkan sesuatu yang baharu.
“Di sinilah bermulanya pembentukan pemikir, pencipta dan inovator masa hadapan,” kata beliau.
Beliau juga berharap lahir lebih ramai anak Kelantan yang berani berfikir, tekun mencuba dan mampu mencipta teknologi yang memberi manfaat kepada manusia.


0 Comments