Oleh Aslani M |
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan tindakan mahu membatalkan kewujudan gabungan politik itu sebagai agenda berniat jahat dan tekanan politik bagi memangsakan PN.
Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, tekanan itu diterima daripada pihak-pihak di dalam dan luar PN.
Katanya, PN menerima notis di bawah subseksyen 13(2), Akta Pertubuhan 1966 bagi maksud Pendaftar Pertubuhan (ROS) hendak membatalkan pendaftaran PN selepas tempoh tunjuk sebab dari PN dalam tempoh 30 hari.
“Adalah disahkan cadangan pembatalan tersebut terkait dengan aduan daripada Bersatu terhadap PN berhubung mesyuarat bertarikh 16 Julai 2026.
“Susulan notis di atas PN juga menerima suatu perintah di bawah subseksyen 13(2A), Akta Pertubuhan 1966 yang memerintahkan penggantungan semua kegiatan sehingga tarikh yang tidak ditentukan,” katanya pada kenyataan hari ini.
Pada 11 Ogos lepas ROS mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai serta isu berkaitan kedudukan keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.
Takiyuddin berkata, kedua-dua notis dan perintah di atas diserahkan kepada PN pada 22 dan 23 September lepas, berkebetulan pada hari pengumuman dan kuat kuasa pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka.
Menurutnya PN mengambil maklum keputusan ROS tersebut, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan terbabit.
“PN sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya yang didukung oleh ahli-ahli dan penyokongnya,” ujarnya.
Sehubungan katanya PN berharap ahli-ahli dan penyokong bertenang kerana perkara itu sedang diurus dengan sebaiknya dan PN akan memberi maklumat dan dokumen berkaitan kepada masyarakat secara telus serta memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.
Larangan
Katanya juga PN mengeluar perintah larangan (gag order) berkuatkuasa serta merta kepada mana-mana pihak daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi pihak PN kecuali Pengerusi dan Setiausaha Agung PN.
Sementara itu pada perkembangan berkaitan PAS mendapat maklum suatu perintah penggantungan serta merta terhadap PN oleh ROS bertarikh 23 September 2026.
Pada kenyatannya PAS yakin notis dan perintah yang dikeluarkan pada tarikh yang sama dengan pengumuman pembubaran Dun Melaka akan diuruskan mengikut peruntukan undang-undang dan proses perundangan sewajarnya oleh PN.
“Atas prinsip musyawarah dan akauntabiliti, PAS juga akan bersama-sama parti komponen PN yang bertanggungjawab bagi meneliti dan mengambil segala langkah yang wajar mengikut lunas undang-undang dan peraturan ditetapkan terutamanya Akta Pertubuhan 1966 bagi memenuhi matlamat dan objektif penubuhan dan perjuangan PN,” katanya.




0 Comments