Negara lain maklum awal tarikh pilihan raya

 
KOTA BHARU: PAS bersedia pada bila-bila masa sahaja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 sekiranya parlimen dibubar lebih awal.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, terpulang kepada kerajaan persekutuan untuk membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan.

“PAS tidak menghadapi masalah kerana kita sudah bersedia lebih awal. Begitu juga dari aspek calon tiada sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-65 di Kelantan Trade Centre di sini hari ini.

Semalam Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya PRU16 diadakan lebih awal sebelum menghampiri tempoh Parlimen berakhir hujung tahun hadapan.

Sebaliknya jurucakap Kerajaan Madani, Dato’ Seri Fahmi Fadzil dilapor berkata, tiada keperluan PRU16 diadakan lebih awal, sebaliknya ia dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun depan.

Malah katanya, parti-parti komponen Kerajaan Madani menyatakan komitmen untuk terus menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, amalan di Malaysia berbeza dengan sesetengah negara kerana memaklumkan lebih awal tarikh pilihan raya.

Bagaimanapun katanya soal tarikh pilihan raya diserah kepada kerajaan persekutuan.

Manakala dalam perkembangan sama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal berlangsung tidak lama lagi termasuk Melaka dan Sarawak.

Katanya, perkara itu perlu diambil kira bagi mengelakkan kos tinggi serta tempoh berpolitik terlalu panjang sekiranya pilihan raya dilewatkan.

“Sudah sampai masanya penyelarasan dibuat supaya pilihan raya dapat dilakukan secara serentak bagi mengurangkan kos,” katanya selepas perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia di sini.

Post a Comment

0 Comments