KOTA BHARU: Agenda penyatuan ummah bukan sahaja hangat di Muktamar Dewan Pemuda PAS, sebaliknya ia juga menjalar ke gelanggang muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat.
Isu tersebut menjadi teras ucapan dasar Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahya pada muktamar kali ke-65 yang diadakan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre hari ini.
Ustaz Ahmad berkata, agenda terbabit mulai berputik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sehingga berjaya melemahkan sokongan rakyat terhadap DAP dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, penyatuan ummah di Negeri Sembilan bersifat ‘taawun siyasi’ yang masih longgar dan tidak mengikat pihak terbabit.
“Oleh itu naratif penyatuan ummah tidak wajar terhenti selepas pilihan raya negeri, sebaliknya perlu diteruskan bagi memastikan umat Islam kembali bersatu padu dan dapat memperkukuhkan kuasa politik ummah di Malaysia,” katanya.
Muktamar terbabit dirasmikan Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Hadir sama Timbalan Mursydul Am, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob.
Bagaimanapun kata beliau usaha untuk mencapai penyatuan ummah berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan memandangkan masyarakat bukan-Islam sudah lama terperangkap dengan permainan politik perkauman DAP.
Menurutnya cabaran besar dihadapi bagi memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam bahawa mereka tidak pernah disisih dalam agenda penyatuan ummah.
Ustaz Ahmad juga berkata, langkah Kerajaan Kedah melaksanakan dasar sifar judi berdepan dengan kekangan perundangan.
Kata beliau Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Kerajaan Negeri berkaitan pengharaman lesen premis perniagaan perjudian yang berkuat kuasa 1 Januari 2023.
“Apa yang berlaku itu sebahagian daripada mehnah dan tribulasi perjuangan menegakkan amar makruf nahi mungkar yang tidak seharusnya menyebabkan kita berundur,” katanya.


0 Comments