KUALA LUMPUR: Pada 19 Ogos 2024 kerajaan melancar Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) untuk membangunkan sosioekonomi dan merapatkan jurang ekonomi komuniti Bumiputera.
Matlamatnya meningkatkan pemilikan saham perniagaan individu daripada 18.4 kepada 30 peratus menjelang 2035.
Namun, ketika impian itu masih lagi jauh mencapai sasaran, tiba-tiba kerajaan mahu menghapuskan mekanisme pemilikan Bumiputera melalui institusi pendidikan swasta (IPS).
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Dr Armin Baniaz Pahamin berkata, Kerajaan Madani pada satu masa melaungkan agenda penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera melalui PuTERA35, namun pada masa yang sama bertindak di sebaliknya.
Katanya, PuTERA35 sebelum ini menetapkan hala tuju bagi memperkukuhkan penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani.
“Ia turut menyasarkan pemilikan ekuiti individu dan agensi mandat Bumiputera meningkat daripada 18.4 peratus pada 2020 kepada 30 peratus menjelang 2035.
“Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan syarat minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan bagi syarikat sendirian berhad berisiko melumpuhkan matlamat PuTERA35,” katanya pada kenyataan.
Baru-baru ini, KPM dilapor menjelaskan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan institusi pendidikan swasta di bawah KPM.
Menurut kenyataan itu keputusan tersebut dipersetujui selepas sesi perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
MITI nafi
Bagaimanapun semalam MITI menafikan terbabit dalam membuat keputusan tersebut.
Dr Armin berkata, keputusan untuk menghapuskan mekanisme pemilikan Bumiputera tanpa mengemukakan mekanisme gantian menimbulkan percanggahan dasar yang nyata.
Menurutnya kerajaan tidak boleh mengukur kejayaan PuTERA35 melalui pertambahan pemilikan ekuiti, namun pada masa sama mengecilkan ruang yang menyediakan penyertaan tersebut.
“Dokumen PuTERA35 merekodkan pemilikan ekuiti korporat Bumiputera pada 2020 sebanyak 18.4 peratus. Ini bermakna kita masih kekurangan pemilikan dan penguasaan ekonomi.
“Perdebatan mengenai 30 peratus tidak sepatutnya terhenti pada angka. Yang lebih penting kualiti pemilikan. Jika syarat lama hanya melahirkan pemegang saham pasif atau amalan ‘Ali Baba’, maka mekanisme itu perlu diperbaiki,” ujarnya.
Kata beliau pemilikan Bumiputera mesti melalui modal, hak mengundi, penyertaan lembaga pengarah, akses kepada keputusan korporat, perkongsian risiko dan pembangunan keupayaan.
Beliau berkata, reformasi sepatutnya memperkukuh objektif dasar, bukan mengosongkannya pemilikan dalam sektor pendidikan kerana ia sebahagian daripada pemilikan kekayaan masa hadapan.
Kata beliau kerajaan mesti menunjukkan instrumen lebih berkesan untuk mencapai matlamat yang sama.
“Reformasi sebenar apabila mekanisme yang lemah digantikan dengan mekanisme lebih baik, bukan apabila sesuatu instrumen dibuang tanpa alternatif lebih berkesan.
“Justeru, kerajaan perlu menjelaskan bukan sahaja mengapa syarat itu dimansuhkan, tetapi apakah model baharu yang akan memastikan pemilikan dan penguasaan Bumiputera terus berkembang selepas pemansuhan tersebut,” katanya.




0 Comments